suria

Lada Tingkatkan Usaha Tarik Pelancong Ke Langkawi

LANGKAWI: Sejak bertahun Langkawi menjadi destinasi pelancongan utama dan menarik di mata dunia yang membuatkan ia menjadi pulau peranginan yang mesti dikunjungi. Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini usaha promosi menarik pelancong dilihat tidak sehebat dahulu.

Tiada projek besar dilaksanakan ketika ini, mungkin juga kerana peruntukan pembangunan Langkawi berkurangan untuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Dalam Rancangan Malaysia Ke-8 sebanyak RM431 juta diperuntuk kepada LADA manakala dalam Rancangan Malaysia Ke-9, LADA hanya menerima RM173 juta untuk bajet pembangunan Langkawi.

Kerajaan menyalurkan sebanyak RM1.6 bilion ke Langkawi sejak LADA ditubuhkan pada 1991 hingga kini untuk menjadikan pulau peranginan ini sebagai destinasi pelancongan utama dengan penyediaan pelbagai infrastruktur pelancongan, ekonomi dan sosial.

Pembesaran lapangan terbang antarabangsa Langkawi, Jeti Kuah, pembinaan rangkaian jalan raya, kompleks sukan bertaraf antarabangsa dan Kompleks LADA adalah antara projek dilaksanakan dalam tempoh itu.

Dengan kemudahan itu kedatangan pelancong lebih mudah dan selesa melalui udara dan laut. Kunjungan pelancong ke pulau peranginan ini setiap tahun masih menunjukkan peningkatan seperti pada tahun 2005 kehadiran pelawat sebanyak 1.8 juta orang manakala tahun 2006 meningkat kepada 2.1 juta.

Dengan promosi lebih hebat melalui penyertaan di Pameran Pelancongan Antarabangsa di London (WTM), Jerman (ITB) dan lain-lain yang dilaksanakan secara bersama dengan Tourism Malaysia dan agensi pelancongan dan perhotelan, kedatangan pelancong terus meningkat pada tahun 2007 (2.33 juta), 2008 (2.3 juta) dan 2009 (2.49 juta).

Penganjuran beberapa aktiviti seperti Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa (LIMA) dan Ironman Langkawi turut membantu menarik ramai pelancong dalam dan luar negeri ke Langkawi.

Pada acara LIMA pada Disember 2009 lalu, mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong domestik ke Langkawi seramai 317,590 orang berbanding 293,166 orang untuk Disember 2007.

PROMOSI PELANCONGAN

Pengurus Besar LADA, Azman Umar berkata lembaga itu mengambil langkah memperhebat promosi pelancongan dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Katanya LADA menyertai beberapa promosi termasuk Forum Pelancongan Asean, ke Finland dan Denmark pada Januari lepas selain ke Australia dan India pada bulan depan.

"Kami memilih pasaran baru seperti Australia dan India kerana mempunyai ramai pelancong berminat ke Langkawi," katanya. Ini berikutan misi jualan yang dibuat ke negara itu pada awal 2010.

Mengenai projek pembangunan, Azman berkata pembangunan Langkawi akan dilaksanakan berterusan dengan kerjasama penduduk Langkawi dalam kekangan bajet yang diperuntukkan.

Dalam hal ini penduduk perlu bekerjasama membantu menjaga kebersihan kawasan rumah, pantai, tempat-tempat awam, tandas awam dan jangan terlalu mengharap pihak berkuasa tempatan mengurusnya yang akan membabitkan perbelanjaan besar, katanya.

TERIMA KASIH TUN DR MAHATHIR

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Datuk Nawawi Ahmad berkata penduduk Langkawi dan pengusaha pelancongan bersyukur dan berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menjadikan Langkawi destinasi pelancongan.

Tanpa beliau sebagai perancang membangunkan Langkawi menjadi apa yang ada, Langkawi tidak mungkin menjadi destinasi pelancongan yang unggul di negara ini, katanya.

Dari sebuah pulau yang tidak dikenali menjadi destinasi menarik dengan pelbagai produk pelancongan seperti Kereta Kabel, Galeria Perdana, Kota Mahsuri, Underwater World (UWL), Taman Burung dan Kompleks kraf.

Nawawi turut berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat meneruskan pembangunan industri pelancongan di pulau peranginan ini bagi meningkatkan kehadiran pelancong.

Najib baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM7 juta untuk membina jeti nelayan di Sungai Chenang di sini.

Nawawi mengakui pembangunan Langkawi agak perlahan berbanding sebelum ini semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Katanya tiada acara menarik seperti kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi dipertanding di Langkawi sedangkan kemeriahannya bermula di sini, daripada idea yang dicetuskan Dr Mahathir.

BAPA PEMBANGUNAN LANGKAWI

Seorang penduduk Ku Mansor Ku Sulong 53, menganggap Tun Dr Mahathir ialah "bapa pembangunan Langkawi".

Ramai penduduk Langkawi merebut peluang membabitkan diri dalam industri pelancongan selepas itu seperti menyediakan tempat penginapan berkonsepkan Inap Desa, perniagaan dan produk pelancongan.

Konsep Inap Desa ini semakin mendapat sambutan daripada pengusaha tempatan dan banyak yang boleh disewa di Kampung Wang Tok Rendong, Kampung Kuala Melaka, Kilim dan Pulau Tuba.

Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah Pishol Ishak berkata produk pelancongan Langkawi memang perlu dipelbagaikan untuk mengekalkan tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri berkunjung ke pulau bebas cukai ini.

Langkawi sememangnya tidak memerlukan pembangunan yang intensif tanpa mengambil kira kepentingan alam sekitarnya malah barangan bebas cukai yang dijual hanya menjadi nilai tambah kepada unsur tarikan semula jadi di sini.

Bagaimanapun pembangunan bersifat kemudahan infrastruktur dan pengindahan serta pemuliharaan kawasan seluruh pulau ini memerlukan perhatian yang berterusan bagi memastikan Langkawi kekal menjadi antara destinasi utama pelancong di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Cukupkah Makan Untuk Hidup?

Artikel Berikut

Artikel Lain