suria

Miri Merintis Pembangunan Jalur Lebar WIFI Di Sarawak

Bersempena dengan pelancaran khidmat runcit Jalur Lebar Kelajuan Tinggi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac.

MIRI: Perisytiharan Miri sebagai Bandar Raya Wifi pada 10 Januari 2008 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha menggunakan sepenuhnya teknologi wireless-fidelity (WIFI) untuk menambahbaik keterkaitan di Sarawak.

Majlis perisytiharan ini dijalankan secara bersama oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi pada masa itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Lim Keng Yaik di kampus Curtin University of Technology Sarawak di sini, yang merupakan kampus Wifi pertama di negara ini.

Taib yang instrumental terhadap projek perintis ini berkata, peruntukan perkhidmatan jalur lebar merupakan penyelesaian paling tepat dalam menambahbaik penembusan Internet dalam sebuah negeri yang besar seperti Sarawak dengan bilangan penduduk yang kecil, kira-kira dua juta orang dengan penempatan mereka tersebar luas di negeri ini.

Sementara negeri ini agak berjaya dalam melaksanakan khidmat jalur lebar wayarles di kawasan datar, beliau berkata bantuan Kerajaan Persekutuan masih diperlukan untuk mengatasi masalah dalam memperkenalkan perkhidmatan ini di kawasan yang bentuk mukabuminya mencabar.

"Prospek penggunaan khidmat ini kini lebih cerah dengan pelaksanaan projek Koridor Sarawak bagi Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) yang terletak antara Similajau di Bahagian Bintulu dan Tanjung Manis di Mukah yang akan merangsang peningkatan keterkaitan online," katanya.

Penduduk tempatan menunjukkan minat

Penduduk Bandar Raya Miri juga menunjukkan minat sejak Taib pertama kali memperkenalkan idea merevolusi khidmat jalur lebar di negeri ini pada 2007.

Beliau berkata teknologi WIFI akan mempermudah pembentukan masyarakat berilmu (K-Society) di Sarawak serta membolehkan negeri ini menceburi aktiviti ekonomi berasaskan kepada pengetahuan.

Idea beliau diterima baik oleh masyarakat tempatan yang mengambil usaha untuk membentuk kumpulan Miri Broadband Stakeholders Group (Miri BSG), yang terdiri daripada wakil-wakil tempatan bandar raya ini, orang ramai dan sektor awam.

Pengerusi BSG Miri Datuk Dr Lee Kim Shin berkata, kumpulan itu mempunyai perwakilan daripada pelbagai pihak yang turut meliputi pemegang kepentingan di pihak kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan hinggalah syarikat minyak dan gas multinasional terkemuka di Miri, contohnya, Shell dan Petronas.

Buat permulaan, kumpulan itu menjalankan tinjauan penggunaan jalur lebar meliputi hampir kesemua sektor masyarakat di bandar raya ini.

"Dalam tempoh singkat tiga bulan, sejumlah 53,604 pengguna berdaftar di Miri memberi respons positif dalam menunjukkan sokongan mereka terhadap khidmat jalur lebar lebih baik di bandar raya ini," tambah beliau.

Wifi Dijangka Membuka Lebih Banyak Peluang

Lee, yang juga Menteri Muda Komunikasi, berkata sejak itu Miri BSG memainkan peranan pelopor dengan mendapatkan maklumatbalas awam dalam usaha menggorak langkah ke arah menjadikan Miri sebagai bandar raya Wifi.

"Semua anggota jawatankuasa Miri BSG berkhidmat secara sukarela. Mereka menyediakan input bagi perancangan projek perintis (bandar raya Wifi) dan terus memberikan maklumat balas daripada pengguna kepada penyedia khidmat untuk memastikan kualiti perkhidmatan tertinggi kepada masyarakat pengguna," katanya.

Kumpulan ini beraspirasi untuk menjadikan Bandar Raya Miri sebagai antara bandar raya dengan keterkaitan tertinggi di negara ini bersama kadar penembusan sebanyak 100 peratus di dalam bandar raya dan kawasan persekitaran.

Kumpulan ini, katanya, juga mahu khidmat jalur lebar disediakan pada kadar kompetitif dan mampu bagi orang ramai sementara mengekalkan kelajuan tinggi serta khidmat yang boleh dipercayai.

"Kami juga mahu menggalakkan pembangunan teknokrat muda, khasnya dalam bidang pembangunan kandungan," tambah beliau.

Liputan wifi diperluan ke seluruh Sarawak

Projek Bandar Raya Wifi Miri dijalankan melalui inisiatif awam-swasta yang membawa bersama kepakaran syarikat milik negeri, Sacofa Sdn Bhd dan Danawa Resources Sdn Bhd.

Pengerusi Danawa Resources Datuk Abdul Hamed Sepawi berkata projek perintis ini bertujuan menguji teknologi jalur lebar wayarles yang canggih serta infrastruktur bagi mengendalikan triple-play (suara, data dan video) dan boleh diskala kepada quadruple-play yang termasuk Internet Protocol Television (IPTV).

Dalam menawarkan khidmat-khidmat ini, syarikat usahasama ini akan memastikan kadar bayaran yang akan dikenakan adalah mampu dan munasabah bagi kanak-kanak dan orang ramai.

"Untuk mencapai ini, model jalur lebar Danawa-Sacofa menumpukan kepada kecekapan serta keberkesanan daripada segi kos," katanya.

Selepas Miri, mereka merancang untuk memperluas khidmat ke pekan lain di Sarawak dan menembusi bahagian pedalaman negeri ini.

"Memandangkan projek ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan masyarakat berpengetahuan, saya berharap Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan penuh untuk memastikan rakyat menikmati manfaatnya," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Lain