suria

Buku Hang Tuah dalam bahasa Inggeris dilancarkan di Frankfurt

FRANKFURT: Karya sastera epik pahlawan legenda Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melaka di abad ke-15 dalam edisi bahasa Inggeris dilancarkan pada Pesta Buka Antarabangsa Frankfurt yang sedang berlangsung di sini semalam.

Sekumpulan besar wakil dari firma penerbitan, media dan masyarakat Malaysia di sini melaungkan sorakan kegembiraan pada pelancaran rasmi buku tersebut oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Konsul Besar Malaysia di Frankfurt, Saiful Azam Abdullah merupakan tetamu kehormat pada majlis itu.

Memuji usaha penerbit, Saiful menyifatkan edisi bahasa Inggeris itu sebagai "sastera bersejarah" dan langkah bijak ITNM memandangkan keunikan pesta antarabangsa itu sebagai medan untuk melancarkan produk kesusasteraan.

Taheera Rosheena Mohamed menyampaikan syair dalam bentuk lagu yang memukau dan menerima tepukan gemuruh hadirn. Pengarah Urusan ITNM Mohd Khair Ngadiron berkata edisi pertama sebanyak 3,500 buku itu akan diterbitkan dengan setiap satu dijual dengan harga kirakira 40 Euro (kira-kira RM200).

"Kami menerima pertanyaan mengenai penterjemahan epik Hang Tuah dari Turki sebelum edisi bahasa Inggeris dilancarkan," katanya.

Ditanya mengapa pihaknya menunggu lama untuk melancarkan versi Inggeris itu, katanya, pesta buku itu merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan edisi bahasa Inggeris di samping peluang memperkenalkan "kebudayaan kita kepada penonton yang lebih luas".

Katanya ITNM juga telah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat Itali, Metropolis Asia, berpangkalan di Milan, untuk menerbitkan semula buku berjudul "The Morning Post" tulisan A. Samad Said, dalam bahasa Itali.

Sementara itu, seorang penerbit dari Malaysia agak terkejut untuk mendapati wujudnya permintaan untuk bukubuku mengenai agama Islam.

Pengarah Urusan Saba Islamic Media, Sabariah Abdullah, berkata mereka menerima maklum balas yang menggalakkan dari pengunjung pada pesta buku itu.

Syarikat tersebut juga menterjemahkan AlQuran dalam bahasa Inggeris.

"Kami menerima tempahan kitab AlQuran dari Singapura. Bagaimanapun, kami cuba mendapatkan penerbit yang akan membeli hak dan menterjemahkan bukubuku agama kami dalam bahasa Jerman," katanya.

Dalam pada itu, Joey Yap, seorang pakar dalam ilmu astrologi Cina dari Kuala Lumpur, yang mempamerkan bukubuku mengenai astrologi termasuk Feng Shui, mendapati ramai yang berminat mempelajari secara lebih mendalam mengenai ilmu itu.

"Ramai mempunyai tanggapan salah mengenai Feng Shui. Ramai warga Amerika Syarikat percaya ianya adalah satu agama," kata Yap yang akan mengadakan sebuah seminar di New York pada akhir bulan ini. BERNAMA

Artikel Lain