suria

Mencari sumber tenaga boleh diperbaharui dan air

USAHA mencari sumber tenaga boleh diperbaharui dan air bersih adalah penting bagi mana-mana masyarakat lestari khasnya pada ketika kedua-dua sumber ini semakin berkurang dengan peralihan masa.

Tenaga dan air saling berkaitan dengan satu lagi elemen penting yang diperlukan oleh manusia makanan.

Oleh kerana itu, akses kepada tenaga boleh diperbaharui dan air bersih adalah perlu bukan sahaja bagi pembangunan lestari negara malahan bagi kelangsungan hidup manusia.

Topik mengenai "Makanan, Air dan Tenaga" yang dibincangkan dengan terperinci pada persidangan antarabangsa World Chambers Conference di sini, minggu lepas mengupas kesan daripada ketandusan sumber tenaga, air dan makanan terhadap pembangunan lestari.

Permintaan dunia bagi tenaga terus meningkat pada kadar antara dua dan tiga peratus setiap tahun mewakili kira-kira 530 EJ pada waktu ini tetapi wujud kebimbangan terhadap bekalan bahan api fosil yang boleh mencetuskan satu era harga minyak yang lebih tinggi dengan kesan sampingan daripadanya yang menjejaskan pembangunan lestari.

Mengenai air pula, manusia memerlukan lapan bilion meter padu air menjelang 2030 tetapi hanya separuh daripada jumlah ini boleh diperbaharui yang bermakna bekalan air juga akan berkurangan dengan peredaran masa. Perubahan iklim juga menampilkan kesannya melalui air paras laut yang meningkat, kemarau, banjir, kutub dan glasier yang mencair.

Bolehkah tenaga boleh diperbaharui ditemui

Komuniti di seluruh dunia pasti ingat akan kemunculan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel, etanol, kuasa solar dan seumpamanya semasa harga minyak mentah mencecah AS$150 setong pada tahun lepas. Tetapi semua ini hilang begitu sahaja apabila harga minyak jatuh teruk semasa krisis ekonomi.

Tetapi kini persoalannya ialah sama ada tenaga boleh diperbaharui ini sesuatu yang boleh dicapai dalam realiti atau sekadar impian sahaja?

Seorang daripada pembentang pada sesi pleno itu, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, yang pernah berkhidmat selama 30 tahun dengan Shell dan berpengalaman luas dalam bidang petroleum, berkata sumber tenaga boleh diperbaharui sebenarnya boleh dicapai.

"Saya rasa ini boleh dicapai jika pembangunan kepelbagaian bekalan berlaku dan apa yang penting ialah untuk menemui bentuk tenaga yang murah dan mudah digunakan, antaranya bahan api bio. "Bagaimanapun, wujud keraguan sama ada penggunaan bahan api bio tertentu berbaloi kerana dianggarkan menjelang 2030, bahan api bio cecair (tidak termasuk biomas tradisional) hanya mampu menyumbangkan 30 EJ (setara dengan 14 juta tong minyak sehari), yang hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan permintaan tenaga," kata Megat Zaharuddin, yang kini ialah pengerusi Platinum Energy Global, sebuah syarikat bahan api bio.

Beliau juga berkata bahawa alternatif seperti bahan api bio masih mahal untuk dikeluarkan. Selain itu bahan api bio generasi kedua, sebagai contoh daripada alga, memerlukan masa yang lama untuk dibangunkan sepenuhnya.

Pada paras harga tertentu minyak mentah dan tanpa subsidi, pengeluaran bahan api bio pasti sukar.

"Jadi, dalam industri bahan api boleh diperbaharui khasnya bahan api bio yang saya turut terbabit, saya gembira dengan beberapa perkembangan positif antara lain; teknologi baru dan/atau ekonomi mengikut skala yang akan mengurangkan kos pengeluaran bahan api bio; lebih banyak pengeluar pelbagai jenis bahan api bio; infrastruktur pengedaran dipertingkat untuk mengurangkan kos; dan enjin-enjin terbaik bagi pelbagai bahan api bio direkabentuk supaya bukan sahaja penggunaan tenaga dioptimum malahan mengeluarkan wasap yang lebih bersih.

Bekalan air turut terancam

Bagaimana pula dengan air memandangkan sekarang pun sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk dunia tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi ataupun sanitasi?. Pada masa depan pula menjelang 2030 gambaran yang diberikan juga tidak begitu menyenangkan kerana separuh daripada penduduk dunia atau 4 bilion orang akan tinggal di kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air.

Bekalan air semakin berkurangan, seperti yang ditunjukkan oleh para pakar, sebahagian besar kerana pertumbuhan populasi, urbanisasi, pengondolan hutan, perindustrian dan air yang disia-siakan. Masalah ini akan bertambah buruk kerana perubahan dalam iklim.

Aktiviti pertanian mewakili lebih kurang 70 peratus daripada semua air yang digunakan oleh manusia.

Masalah berkenaan air dibentangkan di sesi pleno yang sama oleh Jack Moss, Penasihat Kanan Air, AquaFed, Perancis, yang sangat berminat dengan isu air.

Beliau berkata 'air lebih penting daripada apa yang diketahui oleh orang ramai' dan terdapat kelemahan teruk dalam pengurusan bekalan air dan sanitasi yang membawa kepada kehilangan air yang boleh diguna.

"Terdapat dua faktor asas, pertama kurangnya komitmen politik yang menyebabkan ketiadaan kepimpinan baik serta kawalan terhadap air dan sistem sanitasi; keduanya ialah ketiadaan pengurusan ala industri.

Ancaman kekurangan bekalan air tidak boleh dipandang mudah seperti yang dapat dilihat daripada kejadian di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini yang kehabisan air dan terpaksa mengimportnya dari Marseilles, Perancis.

"Krisis air sedunia adalah kerana salah urus dan kesan menyeluruh daripada krisis tempatan. Satu-satunya jalan penyelesaian ialah air perlu dipulihara dan digunakan dengan cekap untuk menjamin bekalan. Kerajaan dan mereka yang berkepentingan perlu mengambil pendekatan bersepadu terhadap perancangan air antarabangsa dan dasar-dasar yang turut mengambil kira sanitasi," kata beliau.

Kesan masalah tenaga dan air terhadap makanan

Sementara itu, mengenai persoalan mengatasi kekurangan bekalan makanan yang sangat berhubung kait dengan tenaga dan air, sesi pleno bertema "Cabaran-cabaran Global Kita" mendedahkan bahawa sekarang ini tanah pertanian digunakan untuk menanam tanaman yang menghasilkan bahan api bio dan bukannya makanan.

Ketua Wilayah bagi Nestle Malaysia dan Singapura Sullivan O' Carrol berkata penggantian bahan api fosil sebanyak 5 peratus bermakna bekalan air bagi penghasilan makanan akan berkurang dua kali ganda.

Aliran ini akan memudaratkan sumber bekalan air yang perlu untuk membekalkan lebih banyak makanan kepada dunia membangun yang mana barubaru ini menyaksikan peningkatan dalam harga makanan menyebabkan kira-kira 100 juta orang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan.

Harga makanan terus meningkat sebahagian besar kerana pembekal pertanian tidak mampu menampung permintaan hari ini. Jadi apa yang dunia sedang lakukan? Beralih daripada pengeluaran makanan dan menumpukan pada tanaman untuk menjana tenaga?

Beliau berkata perlu ada revolusi hijau dan peningkatan dalam produktiviti daripada penggunaan teknologi-teknologi baru.

Meningkatkan produktiviti pertanian hanya sebahagian daripada jalan penyelesaian. Yang menjadi masalah besar ialah menggalakkan penggunaan air secara bertanggungjawab.

Hari ini, hampir kesemua air yang terdapat untuk kegunaan pertanian tidak digunakan dengan cekap atau disalahguna oleh kerana tiada kos ditanggung oleh oleh petani. Perkara yang sama berlaku pada air yang digunakan oleh industri dan isi rumah.

Sekarang ini, isu mendesak ialah air dan oleh itu kerajaankerajaan tempatan perlu mengambil berat akan isu masalah air dan masalah yang berkaitan dengan kadar segera. BERNAMA

Artikel Lain