suria

Beriani Kambing, Mi Goreng Mamak Asli Menu Istimewa Line Clear

KUALA LUMPUR: Restoran nasi kandar terkenal dari Pulau Pinang, Line Clear (LC) yang beroperasi di Kampung Baru di sini menjanjikan menu masakkan mamak asli sepanjang Ramadan ini.

Pemiliknya, Zainul Alam Abdul Hamid berkata, restoran LC memyediakan tiga menu istimewa iaitu beriani kambing, mi goreng mamak, dan murtabak.

Menurutnya, walaupun menu itu kelihatan biasa dan boleh didapati di restoran lain, namun penyediannya lebih asli dan lazat untuk dinikmati pelanggan.

"Beriani kambing yang akan kita sediakan untuk Ramadan ini adalah 'beriani kambing ala rumah'. Resipi tradisi ini tidak pernah disediakan untuk dijual kerana hanya untuk dimakan bersama keluarga.

"Tetapi bagi meraikan pelanggan kami, LC akan menyediakan menu istimewa ini sepanjang Ramadan. Kami akan guna rempah dan bahan asas asli untuk beriani ini, ia tidak sama dengan beriani kambing lain, cubalah dulu" katanya kepada mStar Online.

Zainul Alam memberitahu, mi goreng mamak juga akan disedia menggunakan menu asli mamak seperti sekitar tahun 80-an di Pulau Pinang.

Jelasnya, mi goreng mamak ketika ini digoreng dengan menggunakan bahan asas seperti kicap, cili giling dan sos, tetapi LC tidak akan menggunakan menu moden itu.

"Kita akan sediakan kuah manis dan kuah pedas, bahan ini akan ditumis dan dimasak sebelum digunakan untuk sediakan mi goreng.

"Kita nak hidangkan mi goreng mamak yang betul-betul asli untuk pelanggan. LC mahu pelanggan puas ketika berbuka puasa," ujarnya.

Beliau yag juga Chef Eksekutif LC memberitahu, selain itu pihaknya turut menyediakan murtabak daging dan ayam yang menjadi menu wajib sempena Ramadan.

Tambahnya, minuman seperti air kelapa dan cedol juga disediakan selain kurma dan buah-buahan yang akan dihidangkan secara percuma.







Ramadan, Line Clear

Artikel Lain