suria

Hotel Sunway Putra Sajikan Hidangan Tradisional, Asli Khas 'Dari Dapur Ummi'

Chef Rossham bersama hidangan Nasi Goreng Ayam Kampung di gerainya sepanjang Ramadan di Hotel Putra Sunway.

KUALA LUMPUR: Hotel Sunway Putra di sini menawarkan lebih daripada 100 hidangan tradisional dan asli bertemakan 'Dari Dapur Ummi' sebagai menu berbuka puasa untuk pelanggannya pada Ramadan ini.

Sajian bufet itu terdiri daripada pelbagai resepi menarik oleh keluarga chef-chef yang telah diwarisi sejak berabad lamanya.

Diketuai oleh Chef Eksekutif, Chef Rossham Rosli, hidangan utama bufet itu ialah nasi ayam kampung, resepi yang dipelajari Chef Rossham daripada ibunya.

"Saya belajar memasak nasi ayam kampung daripada mak saya kira-kira 24 tahun lalu. Menurut ibu saya, teknik dan penyajiannya menggabungkan pengaruh cara masakan dari Negeri Sembilan dan Sumatera," katanya.

Selain Chef Rossham, terdapat empat chef lain yang akan menyajikan resepi ibu mereka seperti peha ayam kicap, ikan patin masak tempoyak, perut masak lemak dan rebung, sotong masalaa serta daging rendang dengdeng.

Selain itu, hotel berkenaan juga menawarkan 40 jenis kerabu tradisional dan enak seperti kerabu isi kelapa daun selasih, kerabu tembikai dan kerabu isi ikan pedas.

"Saranan kami ialah kerabu rampai yang diperbuat daripada pelbagai jenis ulam kampung bersama kelapa parut, dijamin akan memberikan rasa yang menyegarkan di dalam mulut anda," katanya.

Pelanggan juga akan 'rambang mata' dengan pelbagai pilihan makanan daripada 10 gerai kampung seperti gerai Rebus-Rebus, Bakar-Bakar dan Celup-Celup yang menyajikan antaranya sup gear box, kambing barbeku oriental, sate ayam atau lembu serta cucur ikan bilis.

Bufet itu akan dibuka dari pukul 6 petang hingga 10 malam bermula 22 Jun hingga 4 Julai, berharga RM138 bersih seorang untuk dewasa dan RM69 untuk kanak-kanak berumur antara lima dan 12 tahun.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web http://putra.sunwayhotels.com atau hubungi 03-4040 9888. -- Bernama



Artikel Lain