suria

Kelazatan Cendol Makloom Kerana Rahsianya

BARU-BARU ini, semasa Abang Fen sedang menunggang motosikal di bawah panas terik di sekitar Sungai Dua, Butterworth, tiba-tiba teringat tentang cerita sebuah kedai cendol sedap di kawasan berdekatan.

Tidak perlu fikir panjang, Abang Fen menunggang motosikal ke arah kedai itu mengikut jalan yang telah diberitahu oleh rakan-rakan sebelum ini.

Apabila tiba di simpang tiga Makloom, Abang Fen tersenyum seorang diri melihat kedai cendol itu dengan lima hingga enam pelanggan sedang beratur.

Oleh kerana jarang-jarang menikmati cendol dan ABC atau ais kacang dalam loghat utara, Abang Fen pun menjadi pelanggan ketujuh dalam barisan untuk mengambil cendol dan ABC.

Melihat santan yang pekat, Abang Fen semakin teruja untuk meminta satu cendol dan ais kacang.

Selepas merasai cendol dan ais kacang ini, barulah Abang Fen sedar dan 'insaf' kenapa ramai rakan selalu ke sini, sebabnya... memang sedap you all.

Tanpa disedari, Abang Fen sudah habiskan dua mangkuk ais kacang dan cendol Makloom tadi.

Melihat pengusahanya yang tidak begitu sibuk, Abang fen mula mengeluarkan buku yang sentiasa berada di dalam beg dan pen untuk mencungkil segala rahsia yang patut.

Kali ini, Abang Fen tidak mengambil masa lama untuk mencungkil rahsia daripada pemilik cendol Makloom dan ketika itu jugalah Abang fen diberitahu bahawa nama cendol Makloom diberikan kerana ia terletak di simpang tiga kawasan tersebut.

Cendol Makloom diusahakan oleh Azizan Zakaria, 53, (gambar) sejak 1995 dengan bermodalkan santan sebanyak 4 kilogram sehari.

Kini santan yang digunakan setiap hari telah melebihi 20 kilogram, malah akan bertambah jumlahnya pada hari cuti umum atau hujung minggu.

"Saya memproses santan dan kacang merah sendiri agar keaslian rasanya dapat dikekalkan dan kepekatan santan juga tidak berbeza," kata Azizan memulakan perbualan dengan Abang Fen.

Resepi cendol ini diadun sendiri oleh Azizan dan isterinya Ramlah Ahmad, 49, yang merupakan individu penting dalam memastikan kelazatan cendol Makloom terus dikekalkan.

"Saya dan isteri yang berusaha membuat resepi cendol ini agar rasanya lazat dan lain daripada yang lain, inilah hasilnya atas usaha kami," sambung beliau dengan nada bersemangat seakan puas atas usaha mereka selama hampir 20 tahun.

Tidak hairanlah jika cendol mereka sering menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, keraian serta makan malam.

Dengan hasil penjualan cendol itu, Azizan sekeluarga mendapat pulangan berbaloi selain ia mengubah kehidupan mereka berbanding 20 tahun lalu.

Mendengar kisah mereka, Abang Fen turut kagum dengan kesungguhan Azizan dan isteri dalam melalui proses perniagaan yang pastinya tidak semudah disangka.

Bagi mereka, kelazatan cendol merupakan perkara utama dalam perniagaan kerana dengan penjualan yang ikhlas, barulah mereka puas terhadap hasil pendapatan.

Kalau you all pembaca mStar Online datang ke Butterworth bolehlah singgah di gerai cendol Makloom dan nikmati sendiri keenakan rasa cendolnya... tapi ingat tau hari Jumaat gerainya ditutup.

Waktu perniagaan premis tersebut bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang. Ingin tahu lebih lanjut bolehlah hubungi Azizan ditalian 012 4133749.

Sebelum berpisah, you all tunggu pula cerita daripada Abang Fen mengenai keenakan dan keunikan ais kacang atau ABC istimewa yang diusahakan oleh Azizan Zakaria dalam masa terdekat.




Makloom, Butterworth

Artikel Berikut

Artikel Lain