suria

Mak aihhhh… Masak 3 jam, patut sambal Nasi Paka berhantu, betul-betul terangkat dan berbaloi-baloi!

Antara menu signature di Restoran Nasi Paka, iaitu set udang selambak dan ayam, dengan set ikan keli yang bakal membuatkan penggemar sambal menjilat jari.

KALAU dah namanya Melayu, memang tak sah kalau tak ada hidangan pedas.

Pendek kata, sesuatu hidangan itu tidak lengkap tanpa adanya sambal. Memandangkan begitu ramai peminat makanan pedas ataupun ‘kaki sambal’, maka tidak hairanlah banyak restoran mahupun gerai-gerai makanan yang menyajikan hidangan nasi bersama sambal ala-ala nasi ayam penyet ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun, setiap orang pasti mempunyai cita rasa sambal yang tersendiri. Bagi yang menetap di Shah Alam, Restoran Nasi Paka memang tidak asing lagi bagi ‘kaki sambal’ ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Menu makanan laut harga berbaloi, sos ‘signature’ Ombak Kitchen menjilat jari...rasa sekali pasti nak datang lagi! 

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas rindu masakan Thailand sambil nikmati urutan bahu nyata puas hati... semuanya di KL je! 

Jadi, selepas mendengar saranan dan ulasan daripada rakan-rakan yang pernah mengunjungi restoran ini, kaki penulis bagaikan ditarik-tarik untuk turut sama mencuba keenakan sambal yang disampaikan ke telinga.

Dipendekkan cerita, akhirnya baru-baru ini penulis berkesempatan untuk mengunjungi restoran Nasi Paka sebagaimana yang disarankan rakan-rakan.

Menu yang disajikan di restoran ini terdiri daripada set kombo dan juga single, di mana pelanggan boleh memilih mengikut selera dan ‘portion’ masing-masing.

Set single ayam di Restoran Nasi Paka merupakan antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan.

Aneka lauk yang ditawarkan di dalam set kombo adalah udang selambak dan ayam; udang selambak dan keli; udang selambak dan puyuh; keli double; puyuh double; puyuh dan ayam; dan puyuh dan keli.

Bagi yang gemarkan ‘portion’ kecil, mereka boleh mencuba menu yang ditawarkan dalam set single iaitu udang selambak, puyuh, ayam, keli dan daging masak lemak cili padi.

Tanpa melengahkan masa, penulis memilih set kombo udang selambak dan ayam, dan minuman signature di restoran ini, Air Paka.

Untuk pengetahuan anda, restoran ini menggunakan konsep ‘pelanggan order baru goreng’, bermakna hidangan hanya akan disediakan selepas pelanggan membuat pesanan. Barulah syok makan ‘panas-panas’!.

Uniknya restoran ini juga menyajikan menu ringkas iaitu nasi putih, lauk goreng dan juga sambal, yang disediakan di dalam bungkusan kertas berwarna coklat. Sungguh ringkas kan?

Tetapi menu ringkas inilah yang menjadi kegilaan pengunjung, tak lain tak bukan disebabkan keenakan sambal Paka yang menjadi pelengkap kepada hidangan ringkas ini.

Menurut Pengurus Operasi Nasi Paka, Yusliza Mohammed Noor, sambal Paka hanya terdiri daripada empat bahan iaitu cili padi, bawang, garam dan gula sahaja.

Set single ikan keli buat penggemar hidangan berasaskan ikan.

“Iya, kami hanya gunakan empat bahan ini sahaja. Tiada ramuan rahsia. Cuma, apa yang membuatkan sambal ini istimewa adalah cara penyediaannya, yang dimasak selama tiga jam di atas api yang perlahan.

“Dan sambal ini akan disediakan setiap hari. Kami tak guna sambal yang sama untuk hari keesokannya. Memang setiap kali dimasak, sambal akan habis,” ujarnya.

Menceritakan asal usul kewujudan Nasi Paka, Yusliza yang juga merupakan bekas wartawan berkata hidangan tersebut pada mulanya sering disajikan kepada rakan-rakan sepejabat ketika jamuan ataupun ‘pot luck’.

Iya, kami hanya gunakan empat bahan ini sahaja. Tiada ramuan rahsia. Cuma, apa yang membuatkan sambal ini istimewa adalah cara penyediaannya, yang dimasak selama tiga jam di atas api yang perlahan.

YUSLIZA MOHAMMED NOOR

PENGURUS OPERASI NASI PAKA

“Rakan-rakan memang sukakan sambal ini. Nama Paka itu diambil sempena nama sebuah bandar di Terengganu, yang diabadikan untuk mengimbau kenangan di sana.

“Disebabkan sambutan dan maklum balas yang positif, akhirnya tercetuslah Nasi Paka. Pada mulanya kami beroperasi dengan membuka kiosk di Seksyen 7, Shah Alam dengan hanya tiga ekor ayam sahaja.

“Dari mula beroperasi pada November 2017, sambutan makin menggalakkan kerana Nasi Paka berjaya kumpul peminat tersendiri. Alhamdulillah, Nasi Paka akhirnya beroperasi di restoran sendiri pada May 2018,” ujar Yusliza.

Sedang berbual-bual, seorang pelayan membawakan hidangan set kombo yang dipesan penulis sebentar tadi.

Minuman signature di restoran ini iaitu Air Paka.

Saat diletakkan di atas meja, aroma sambal Nasi Paka menerjah hidung lantas membuatkan penulis tidak sabar-sabar lagi mahu mencuba keenakan hidangan kombo udang selambak dan ayam yang sering menjadi pilihan pelanggan.

Sebaik bungkusan dibuka, mata penulis tidak lepas dari melihat ayam dan udang yang menimbum sambil disirami sambal Paka. Betul-betul selambak!

Saat suapan pertama masuk ke dalam mulut, tidak ada kata-kata yang mampu dizahirkan!

Memang sungguh asyik menikmati ayam dan udang yang digoreng garing, dipadankan pula bersama sambal Paka, apa yang boleh dikatakan penulis adalah padu dan berbaloi!

Tidak hairanlah mengapa ramai yang begitu menggemari menu ringkas ini, rupa-rupanya sambal Paka yang disajikan sememangnya berhantu, padu dan pedas kaw-kaw.

Yusliza memegang bungkusan 'Sambal Travel', produk yang dikeluarkan Restoran Nasi Paka khas buat penggemarnya yang ingin menikmati sambal Paka di mana sahaja.

Selain daripada itu, konsep restoran ini iaitu ‘makan seperti di rumah sendiri’ sememangnya menjadi antara faktor utama mengapa ia menjadi pilihan pelanggan.

Buat masa ini, Nasi Paka hanya beroperasi di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor.

Namun usah bimbang, bagi mereka yang tidak berpeluang mengunjungi restoran ini selalu, anda boleh membeli ‘sambal travel’ untuk dinikmati di rumah atau di mana anda berada.

Jangan tak tahu, ‘sambal travel’ ini pasti cepat ‘sold out’ setiap kali diletakkan di rak khas di restoran ini.

Jadi, orang-orang yang sukakan sambal pedas, apa kata anda cuba kunjungi Nasi Paka untuk merasai sendiri pengalaman menikmati sambalnya.

Restoran ini beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu, bermula jam 10.30 pagi hingga 6.00 petang, dan ditutup setiap Ahad.

Ia terletak di No 67, Jalan Lawan Pedang 13/27, Seksyen 13 Shah Alam. Atau anda waze sahaja Nasi Paka. Selamat mencuba!

Nasi Paka, Shah Alam, sambal

Artikel Lain