suria

Adidas lancar program khas perkasa bola sepak wanita, David Beckham turun padang buat kejutan

David Beckham hadir membuat kejutan ketika pelancaran AMGFP.

SUKAN bola sepak untuk semua!

Berita baik menanti kanak-kanak perempuan yang berminat untuk berkecimpung dalam arena sukan yang kebiasaannya didominasi golongan lelaki.

Menerusi kerjasama antara Adidas Malaysia dengan Professional Footballers Association Malaysia (PFAM), program Adidas Malaysia Girls Football Program (AMGFP) dilancarkan khusus untuk memperkasakan sukan bola sepak kaum wanita.

AMGFP dilancarkan dengan jayanya di ibu kota Kuala Lumpur pada 1 Februari, selain turut mendapat kunjungan istimewa daripada legenda bola sepak, David Beckham.

Program AMGFP ini bermatlamat untuk mencipta peluang yang sama rata bagi bakat bola sepak kanak-kanak perempuan di Malaysia.

Kerjasama antara Adidas dan Professional Footballers Association Malaysia (PFAM).

Sharmin Photographer ketika pelancaran program AMGFP.

Menurut Pengurus Adidas Malaysia, Sharmin Photographer, dia percaya bahawa sukan mampu mengubah kehidupan dan sangat berbangga untuk menerajui program transformasi ini.

"Melalui kepakaran dan komitmen pelbagai pihak, AMGFP dijangka mengambil masa selama satu tahun merangkumi pelbagai sesi, disesuaikan khusus untuk kanak-kanak perempuan berusia antara sembilan hingga 14 tahun.

"Program ini akan bertindak sebagai satu platform untuk mengembangkan bakat dan meningkatkan kemahiran kanak-kanak perempuan dalam sukan bola sepak daripada peringkat akar umbi, untuk menjadikan mereka bakal legenda negara.

"Peserta dalam program AMGFP akan mendapat bimbingan daripada jurulatih berpengalaman dan pemain bola sepak profesional wanita tempatan. Antaranya Kapten Pasukan Kebangsaan Bola Sepak Wanita Malaysia, Steffi Sarge Kaur.

"Selain itu, setiap peserta juga akan mendapat akses kepada peralatan dan kelengkapan latihan Adidas bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk permainan yang akan datang," jelas Sharmin.

Tambah Sharmin, dengan adanya AMGFP yang dijangka bermula seawal Mac 2024, diyakini lebih ramai pemain bola sepak wanita yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi dapat dilahirkan agar mampu mencipta kejayaan di atas dan di luar padang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain