suria

Malaysian Dream Project 2020 bakal penuhi impian 15 pemain muda negara berguru di Jepun!

Hamada (kiri) bersama Morishima terus jalin kerjasama cungkil bakat pemain-pemain muda negara.

SELEPAS lima pemain muda negara terpilih berguru bersama kelab Liga Jepun, Cerezo Osaka, kini peluang itu dibuka lebih meluas kepada semua pemain muda tempatan yang lain.

Buat julung kalinya, sebuah pasukan Bawah 15 Tahun akan dibentuk dan diterbangkan ke Jepun untuk menimba pengalaman bersama Cerezo Osaka yang merupakan kelab terkemuka di negara Matahari Terbit itu.

Lebih menarik, seramai 15 pemain muda  akan dipilih menerusi satu pencarian bakat yang akan diadakan di tiga lokasi berbeza di seluruh Malaysia.

Jika sebelum ini, hanya lima pemain-pemain muda tempatan diberi peluang mencuba nasib bersama Cerezo Osaka, tetapi kini pemilihan lebih terbuka.

Presiden Kelab Cerezo Osaka, Hiroaki Morishima mengakui pemain-pemain dari Malaysia mempunyai bakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kami yakin kerjasama dengan Yakult Malaysia ini mampu membuka peluang lebih ramai pemain muda untuk mencuba nasib bersaing ke tahap yang lebih baik.

“Cerezo Osaka telah ramai melahirkan ramai pemain-pemain berstatus bintang yang bermula di kelab ini seperti Minamino Takumi yang kini beraksi dengan kelab Austria, Red Bull Salzburg,  Hotaru Yamaguchi (skuad Jepun) , Shinji Kagawa (kelab Sepanyol) dan ramai lagi.

“Malaysian Dream Project 2020 akan membantu program pembangunan akar umbi di Malaysia,” jelasnya kepada media selepas Menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) bersama Yakult Malaysia.

MoU ini bakal bermula 1 Januari hingga 3 Disember 2020.

Lima pemain muda yang terpilih ke projek Malaysian Asean Dream ke Cerezo Osaka Ogos lalu.

Sementara itu, penglibatan Yakult Malaysia dalam acara sukan tanah air bukan perkara baharu memandangkan sangat aktif dalam pelbagai program akar umbi bola sepak tempatan.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada berkata, Malaysian Dream Project ini bakal bermula pada April 2020.

“Selepas lengkap 15 pemain yang terpilih, mereka akan dibawa ke Jepun pada Jun menjalani latihan dan beberapa siri perlawanan bersama pemain Akademi Cerezo Osaka.

“Semua pemain muda ini juga akan berpeluang menyaksikan Liga Jepun. Program ini dianggap istimewa kerana hanya untuk pasukan Malaysia sahaja berbanding sebelum ini melibatkan Thailand (5 pemain) dan juga lima dari Myanmar.

“Kami meneruskan program ini memandangkan Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat dan boleh dibawa ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Lima pemain yang berjaya berjaya menjalani latihan bersama Cerezo Osaka sebelum ini termasuk Raja Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari (AMD), Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol (AMD), Muhammad Afiq Norizan (SSN Melaka), Muhammad Farizzudin  Adham Batcha (SSN Selangor) Selangor dan Anas Nadawi Shaharudin (SMK Bandar Baru Bangi).

Artikel Lain