suria

Spekulasi ke Old Trafford, Allegri kini mula belajar bahasa Inggeris

Allegri dikaitkan dengan Manchester United.

SPEKULASI mengenai bekas pengurus Juventus Massimiliano Allegri akan ke Old Trafford semakin meluas apabila dia mendedahkan kini sedang belajar bahasa Inggeris.

Pengurus kelahiran Itali itu masih bercuti selepas meninggalkan Juventus akhir musim lalu dan dia dipercayai berada dalam radar perhatian Manchester United.

Ia berikutan selepas prestasi hambar skuad United sejak awal musim ini di bawah pengurusan Ole Gunnar Solskjaer.

United kini berada di kedudukan ke-12 Liga Perdana Inggeris dan hanya mencatat dua kemenangan dalam lapan perlawanan setakat ini.

Allegri mengesahkan dia kini dalam persiapan untuk kehidupan baharu Liga Perdana.

"Saya belum cukup bagus bercakap bahasa Inggeris, tetapi saya belajar," katanya kepada Przeglad Sporowy.

Sementara itu Tuttosport turut melaporkan Allegri akan membawa Emre Can dan Mario Mandzukic bersamanya ke Old Trafford dari bekas kelabnya Juventus Januari ini. - Dailymail.co.uk

Artikel Lain