Kelab Bola Sepak Liverbird Dampingi Belia Kelainan Upaya - Sukan | mStar

Kelab Bola Sepak Liverbird Dampingi Belia Kelainan Upaya

Diterbitkan: Ahad, 30 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelab Bola Sepak Liverbird akan menganjurkan satu karnival bola sepak khusus untuk golongan belia yang mengalami kelainan upaya untuk mengikuti pelajaran.

Karnival itu akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini 19 dan 20 Februari ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Setiausahanya Rashdan Rashid berkata melalui program itu, pihaknya berharap dapat mendampingi golongan berkenaan, sambil memperkenalkan perlawanan lima sebelah dan mencari penaja untuk mereka, di samping meningkatkan keyakinan diri, semangat berpasukan dan kesihatan golongan berkenaan serta membina modal insan dalam kalangan mereka.

Katanya 16 pasukan dari Lembah Klang akan dipilih menyertai karnival itu, yang dibahagikan kepada empat kategori - lelaki bawah 16 tahun dan lelaki 17 tahun ke atas serta perempuan bawah 16 tahun dan perempuan 17 tahun ke atas.

Rashdan berkata selain perlawanan persahabatan, penganjur juga akan menganjurkan beberapa kegiatan lain berkaitan bola sepak seperti demonstrasi dan sukan.

Menjelang berlangsungnya karnival itu, kelab yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan itu mengadakan klinik bola sepak di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Jalan Raja Laut di sini hari ini dari pukul 1 tengah hari hingga 4 petang.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan