suria

Tiada Rekod Kebangsaan Diperbaharui Perenang Negara Di Guangzhou

GUANGZHOU: Hari keempat acara renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Aoti di sini hari ini tidak menyaksikan sebarang rekod kebangsaan diperbaharui oleh perenang-perenang negara.

Pada pertandingan akhir acara 50m gaya bebas wanita, Chui Lai Kwan sekadar hampir menyamai rekod kebangsaan milik dirinya apabila membuat catatan masa 26.08 saat.

Rekod kebangsaan beliau ialah 26.03s yang dilakukannya pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India Oktober lepas.

Lai Kwan layak ke pertandingan akhir selepas mencatat masa 26.21s pada saringan acara berkenaan yang dijalankan pada sebelah pagi, manakala seorang lagi perenang, Leung Chii Lin hanya mampu mencatat masa 26.97s.

Pingat emas acara itu dimenangi perenang tuan rumah, Li Zhe Si dengan masa 24.97s, sementara pingat perak dan gangsa menjadi milik Tang Yi (China) dan Yayoi Matsumoto (Jepun) masing-masing mencatat masa 25.22s dan 25.67s.

Sementara itu semua perenang lain gagal memberikan persembahan terbaik mereka semasa kolam renang Pusat Akuatik Aoti menyaksikan perenang tuan rumah dan Jepun mendominasi kesemua acara.

Antaranya Daniel Bego yang sekadar menamatkan saingan acara 50m kuak kupu kupu lelaki dengan masa 25.15s, jauh ketinggalan berbanding rekod kebangsaan miliknya sendiri, 24.38s.

Sementara dua wakil Malaysia dalam acara 400m gaya bebas lelaki Kevin Yeap dan Kevin Lim juga terkandas diperingkat saringan dengan catatan masa masing-masing 4:02.67s dan 4:13.93s.

Rekod kebangsaan acara ini adalah 3:53.99s yang dilakukan oleh Daniel di Sukan SEA Laos, tahun lepas.

Christina Loh dan Erika Kong juga gagal melangkah ke pertandingan akhir acara 100m kuak dada wanita selepas masing-masing mencatat masa 1:13.50s dan 1:13.79s.

Rekod kebangsaan acara berkenaan iaitu 1:09.82s, yang dipegang Siow Yi yang dibuatnya di Sukan SEA Laos. -BERNAMA

Artikel Lain