suria

KBS Janji Jaga Keselamatan Atlet Di New Delhi

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan mengambil langkah yang sewajar bagi memastikan keselamatan kontinjen negara di Sukan Komanwel di New Delhi, awal bulan depan.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya akan meletakkan keselamatan sebagai agenda utama bagi mengelak atlet daripada sebarang insiden yang tidak diingini sepanjang temasya itu berlangsung.

"Kita percaya bahawa kerajaan India mampu memberikan kawalan keselamatan yang sewajarnya bagi menangkis sebarang ancaman dari pihak militan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib di sini pada Isnin.

Ahmad Shabery berkata pihaknya akan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di New Delhi bagi memantau perkembangan terbaru di sana.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden dua pelancong Taiwan yang cedera akibat ditembak dua lelaki berhampiran dengan Masjid Jama di New Delhi semalam.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan negara-negara Komanwel lain agar isu keselamatan serta kesihatan semasa di New Delhi dapat ditangani secara serius.

Ahmad Shabery berkata beliau akan turut bersama kontinjen negara sepanjang temasya sukan itu dari 3 hingga 14 Oktober ini.

Sementara itu, Abdul Halil berkata maklumat terbaru yang diterima olehnya menunjukkan kerajaan India telah mengambil langkah berjaga-jaga dan mempertingkatkan kawalan keselamatan di tahap yang tertinggi.

"Mereka (Kerajaan India) berjanji akan menyediakan segala kemudahan yang terbaik untuk melindungi dan membanteras apa jua yang mengancam keselamatan sewaktu atlet berada di sana," katanya.

Malaysia akan menghantar 201 atlet dan 95 pegawai yang akan menyertai 17 jenis sukan pada temasya itu. Malaysia mensasarkan 10 pingat emas pada edisi kali ini, iaitu jumlah sama semasa Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 1998. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain