suria

Chan Mahu Perbaiki Catatan Peribadi Di New Delhi

KUALA LUMPUR: Perenang kebangsaan Chan Kah Yan berazam untuk melakukan persembahan terbaik pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel yang akan berlangsung di New Delhi, India dari 3 hingga 14 Oktober depan.

Atlet yang dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka 2010 itu berkata walaupun agak gementar namun dia merasa gembira kerana dapat mewakili negara buat julung kalinya.

"Menjadi impian saya sejak dulu lagi untuk mewakili negara ke peringkat Sukan Komanwel dan saya akan melakukan persembahan yang terbaik di sana nanti," katanya kepada Bernama, di sini.

Chan, 18, dipilih sebagai Olahragawati Sukma Melaka selepas mengumpul sebanyak tujuh pingat emas dan dua perak pada temasya dwi tahunan itu.

Dia berkata oleh kerana temasya di New Delhi merupakan kejohanan antarabangsa pertamanya, dia tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat tetapi berharap dapat membaiki pencapaian peribadinya dalam acara 100 meter gaya bebas wanita.

"Di Sukma Melaka, saya berjaya melakukan catatan 58.10 saat bagi acara 100m gaya bebas dan saya berharap mampu untuk memperbaiki catatan tersebut di New Delhi nanti," katanya.

Catatannya di Melaka, membolehkan Chan memadam rekod temasya, 58.14s yang dilakukan oleh Leung Chii Lin pada Sukma edisi Terengganu pada 2008.

Di New Delhi nanti, Chan akan mengambil bahagian dalam tujuh acara iaitu 50 meter gaya bebas, 100m gaya bebas, 200m gaya bebas, 200m gaya bebas, 50m kuak lentang, 100m kuak lentang dan 4 x 100m rampaian.

Selain Chan, 12 lagi perenang yang dipilih untuk menyahut cabaran di New Delhi ialah Daniel Bego, Kevin Yeap Soon Choy, Kevin Lim Kar Meng, Khoo Cai Lin, Leung Chii Lin, Chui Lai Kwan, Ian James Barr, Yap See Tuan, Chistina Loh Yen Lling, Erika Kong, Foo Jian Beng dan Joshua Lee. - BERNAMA

Artikel Lain