suria

Zulfahmi Berazam Teruskan Prestasi Mantap Di Arena Lumba Motosikal Dunia

SEPANG: Ia bagaikan mimpi jadi kenyataan apabila dipilih untuk membawa cabaran negara dalam arena perlumbaan motosikal dunia, kata pelumba pasukan AirAsia-Sepang International Circuit Racing, Zulfahmi Khairudin.

Selepas berjaya mengumpul dua mata pada musim perlumbaan sulung beliau dalam perlumbaan Grand Prix Motosikal Dunia kategori 125cc, pelumba berumur 18 tahun dari Banting, Selangor itu kini berazam untuk terus mempamerkan persembahan yang terbaik, terutama dalam perlumbaan Grand Prix Malaysia pada 8 hingga 10 Oktober nanti.

Beliau berkata pastinya rakyat Malaysia mahukan beliau mencipta kejayaan cemerlang di gelanggang sendiri, dan beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak tidak menghampakan mereka.

"Ia seolah-olah macam mimpi. Semuanya berlaku dengan pantas. Kini cita-cita saya untuk suatu masa berlumba dalam perlumbaan GP dunia sudah tercapai. Saya tidak akan menoleh ke belakang lagi," kata beliau ketika ditemui Bernama pada sesi go-kart bersama pihak media di Litar Go Kart SIC di sini, Khamis.

Turut bersama pada majlis itu ialah ketua pegawai eksekutif SIC Razlan Razali dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes.

Sebelum berlumba di Litar Sepang pada Oktober ini Zulfahmi perlu menempuhi lima lagi pusingan dengan perlumbaan terdekat ialah di Litar Brno untuk Grand Prix Republik Czech pada 13 hingga 18 Ogos ini.

Zulfahmi memulakan karier dalam bidang permotoran dengan berlumba bersama pasukan Modenas Yuzy Pachi Racing dan bersaing dalam kategori Wira EPG dan Novis dalam siri perlumbaan Petronas AAM Cub Prix Malaysia.

Beliau mula dikenali ramai selepas bergandingan dengan Elly Idzlianizar Ilias mewakili pasukan AirAsia Malaysia dalam kategori 125cc pada Grand Prix Motosikal Malaysia tahun lepas atas tiket wild card.

Zulfahmi berkata kejayaan memperolehi dua mata pada perlumbaan di Grand Prix Catalunya, Sepanyol dan Grand Prix Jerman di Litar Sachsenring itu menjadi pemangkin kepada dirinya untuk terus memberikan yang terbaik.

Beliau mengakui bahawa bukan mudah bagi dirinya sebagai muka baru untuk mula bertapak dalam arena perlumbaan dunia, dan menurutnya beliau terpaksa mencari peluang serta ruang untuk menonjolkan bakatnya di kalangan pelumba-pelumba yang berpengalaman.

"Bukan mudah untuk berada dalam kedudukan 15 terbaik dalam setiap perlumbaan. Kebanyakkan pelumba lain sudah lima atau enam tahun pengalaman," kata pelumba yang kini berpusat di Bologna, Itali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain