120 Kenderaan Sertai Ekspedisi 4x4 Dan Motocros Di Terengganu

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 120 kenderaan pacuan empat roda dan 10 motocros hari ini mengambil bahagian dalam ekspedisi yang dinamakan "Ekspedisi 4x4 dan Motocros Cengal Terbesar di Dunia 2010" yang julung kali diadakan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Za'abar Mohd Adib berkata selain peserta tempatan, ekspedisi itu juga turut mendapat penyertaan dari luar negara.

"Kita ada tiga peserta dari luar negara iaitu dua dari Australia dan seorang dari Thailand," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta ekspedisi 4x4 dan motocross, di sini.

Beliau berkata menerusi ekspedisi tersebut, peserta berpeluang melihat kawasan pelancongan negeri Terengganu seperti Sungai Loh, Air Terjun Cemarum, Pasir Raja dan Kubu Mat Kilau di Dungun selain berpeluang melihat pokok cengal yang terbesar di negara ini di Bukit Mandi Angin, Dungun.

"Dengan adanya program seumpama ini, pelancong-pelancong atau penggemar aktiviti pacuan empat roda akan lebih memahami produk-produk pelancongan yang ada di Terengganu.

"Tahun depan, kita akan merancang untuk mengadakan lagi program seperti ini yang akan melibatkan lebih ramai peserta dari luar negara," katanya.

Ekspedisi itu dianjurkan bersama kerajaan negeri, Gedud 4x4 Adventure Club Terengganu, Kementerian Pelancongan, Pejabat Perhutanan, Kelab 4x4 Malaysia dan Asuzu Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan