suria

Sebahagian Matlamat Tercapai - CEO LTDL 2010

PORT DICKSON: Sebahagian matlamat penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak edisi pertama pada 1996 telah mencapai matlamatnya apabila pelumba sensasi negara, Anuar Manan menjadi pelumba pertama dari Malaysia memenangi peringkat perlumbaan berprestij di Asia itu.

Pelumba berusia 24 tahun itu yang mewakili pasukan Geumsan Gingseng Asia dari Korea Selatan memenangi peringkat kelima LTdL 2010 yang memasuki edisi ke-15 melibatkan jarak 111.5 kilometer dari Muar, Johor ke Port Dickson, Negeri Sembilan dengan catatan masa 2 jam 23 minit 11 saat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2010, Mohamed Salleh berkata walaupun gembira dan berpuas hati dengan kejayaan Anuar itu, pihaknya tetap mahukan yang lebih baik daripada pelumba-pelumba kelahiran Malaysia.

"Namun kejayaan Anuar telah membuktikan bahawa kita mampu untuk menghasilkan pelumba-pelumba yang berpotensi dan berkaliber untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Inilah yang kita impikan, pelumba dari Malaysia akan naik podium pada setiap kali perlumbaan berakhir," katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Wahab berkata badan induk berbasikal kebangsaan itu berbangga dengan kejayaan Anuar walaupun beliau tidak mewakili pasukan kebangsaan.

"Selepas kali pertama dipertandingkan sejak 1996 akhirnya ada pelumba tempatan yang memenangi satu peringkat perlumbaan. Dia naik sebagai 'hero' di podium," katanya.

Abu Samah berharap Anuar dapat mengekalkan kayuhan cemerlangnya untuk peringkat keenam esok serta dapat memenangi jersi hijau pada edisi kali ini.

Kejayaan Anuar itu turut disambut dengan pelukan erat bekas pelumba kebangsaan, Musairi Musa yang gembira semangat dan kesungguhan pelumba itu.

"Anuar pernah minta nasihat daripada saya dan beliau merupakan seorang pelumba yang sentiasa cuba untuk membaiki kayuhannya," katanya yang kali terakhir beraksi di LTdL pada 2005.

Edisi ke-15 LTdL pada tahun ini pertama kalinya dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama PKBM dengan peruntukan kewangan kira-kira RM7.5 juta. - BERNAMA

Artikel Lain