suria

Astana Antara 17 Pasukan Sahkan Penyertaan LTDL 2010

PUTRAJAYA: Sebanyak 17 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka untuk beraksi pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-15 yang akan berlangsung pada 1 hingga 7 Mac depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohd Yassin Salleh berkata, daripada 17 pasukan itu, tiga pasukan berstatus Pro Tour, satu pasukan berstatus profesional benua, 10 pasukan berstatus benua dan tiga pasukan kebangsaan termasuk Malaysia.

"Kita masih lagi menunggu pengesahan daripada tiga pasukan sehingga hujung bulan ini untuk melengkapkan 20 pasukan yang akan bersaing pada edisi ke-15 LTdL tahun ini," katanya kepada pemberita di Wisma KBS, hari ini.

Mohd Yassin berkata, salah satu pasukan Pro Tour yang akan beraksi pada tahun ini adalah pasukan Astana yang menjuarai Tour de France tahun lepas bersama pelumbanya Alberto Contador serta Alejandro Valverda yang juga menjuarai perlumbaan Vuelta a Espana.

"Kita masih belum mengetahui senarai sebenar barisan pelumba Astana yang akan diturunkan namun yakin mereka akan menurunkan enam pelumba yang hebat, sesuai dengan status pasukan Pro Tour," katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal LTdL 2010, Jamaludin Mahmood ketika mengulas lanjut mengenai penampilan pertama pasukan Astana di Malaysia berkata, harapan untuk menyaksikan Contador beraksi sebenarnya agak tipis kerana pelumba itu pernah menyatakan hasrat untuk berlumba di dalam Paris-Nice yang turut berlangsung pada bulan Mac.

"Bagaimanapun, kita akan cuba untuk mendapat sekurang-kurangnya dua nama besar di dalam perlumbaan anjuran KBS pada tahun ini selain tiga lagi tempat pasukan yang masih kosong itu untuk diisi oleh pasukan berstatus Pro Tour," katanya.

Jamaludin berkata, sehingga kini, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pasukan Pro Tour dari Amerika Syarikat iaitu Columbia High-Tech dan Team Sky yang berdaftar di England.

"Sekiranya mereka gagal memberikan persetujuan sehingga hujung bulan ini, kita mempunyai senarai menunggu 25 pasukan dari Asia dan Eropah bagi menggantikan mereka," katanya.

Mengenai ketiadaan juara bertahan pasukan terbaik keseluruhan, Diquigiovanni-Androni yang turut meraih tiga gelaran utama iaitu pelumba terbaik keseluruhan, raja bukit dan raja pecut, Jamaludin berkata, pasukan itu pada awalnya berdepan dengan masalah lesen yang hanya dapat diselesaikan pada bulan ini.

"Sekiranya masalah itu dapat diselesaikan di dalam masa terdekat, kita juga akan berusaha untuk membawa mereka kembali beraksi pada tahun ini," katanya.

Pada tahun ini, Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghantar satu pasukan berbanding dua pasukan sebelum ini untuk bersaing selain pasukan berstatus benua tempatan, Le Tua.

Dua lagi pelumba tempatan Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman akan beraksi mewakili pasukan luar negara iaitu Guemsan Ginseng Asia (Korea Selatan) dan Drapac Porsche dari Australia.

LTdL pada tahun ini membabitkan jarak sejauh 1019.3 kilometer merangkumi tujuh peringkat perlumbaan bermula di Kota Bharu, Kelantan menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Putrajaya, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Senarai 17 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan:

Pro Tour: Astana (Kazakhstan), Caisse D'Epargne (Sepanyol), Footon-Servetto (Sepanyol)

Profesional Benua: ISD-Neri (Itali)

Benua: Drapac Porsche (Australia), Tabriz Petrochemical Cycling Team (Iran), Seoul Cycling Team (Korea Selatan), Marco Polo Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), Max Success Sport Cycling Team (China), Le Tua (Malaysia) Team Geumsan Ginseng Asia (Korea Selatan), Azad University Cycling Team (Iran) dan Giant Asia Racing Team (Taiwan)

Pasukan Kebangsaan: Malaysia, Kazakhstan dan Afrika Selatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain