suria

NS raikan kejayaan julang Piala Malaysia secara sederhana

NILAI: Kejayaan Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia malam tadi akan diraikan secara sederhana tetapi penuh semangat kesukanan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya Piala Malaysia akan diarak kesemua daerah di negeri ini untuk berkongsi kejayaan dengan rakyat Negeri Sembilan.

"Kita sedang menimbangkan dan juga memikirkan cara untuk kita meraikan kemenangan ini secara sederhana tetapi dengan penuh semangat kesukanan. Kita nak bawa piala berprestij ini ke daerahdaerah supaya ia dapat juga dipamerkan kepada orang ramai.

"Yang penting sekali ialah kita nak supaya ini sebagai satu pembakar semangat terutamanya kepada peminat sukan, para belia dan pelajar sekolah," katanya kepada pemberita selepas pertandingan golf amal Piala Tuanku Munawir sempena pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di sini, semalam.

Mengulas mengenai perlawanan akhir itu, Mohamad yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNs) berkata secara keseluruhannya beliau memuji komitmen pemain skuad Rusa yang mempamerkan permainan cemerlang yang akhirnya membuahkan hasil membawa pulang Piala Malaysia selepas 61 tahun.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penyokong Negeri Sembilan yang memberi sokongan padu kepada skuad Rusa.

Dalam saingan akhir menutup musim Liga Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Negeri Sembilan berjaya menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan 3-1.

Kemenangan ini membolehkan Negeri Sembilan menamatkan penantian selama 61 tahun setelah kali terakhir mendakapnya pada 1948 ketika piala itu dikenali sebagai Piala H.M.S. Malaya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain