suria

“Kami bingung dia hilang ingatan” - Vokalis Azarra Band cedera di kepala selepas terhantuk ketika main futsal

Ejai masih dalam pemantauan doktor selepas hilang ingatan akibat terhantuk.

VOKALIS kumpulan Azarra Band iaitu Ejai Aziz dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami kecederaan di kepala akibat kemalangan ketika bermain futsal pada malam Ahad.

Salah seorang ahli kumpulan itu iaitu Mohd Hairol Azhar berkata, doktor mengesahkan Ejai mengalami pendarahan di kepala akibat gegaran yang kuat di otak sehingga menyebabkannya hilang ingatan.

“Dia pergi bermain futsal bersama kawan-kawannya dan saya diberitahu dia terjatuh dan kepalanya terhantuk, kemudian dia terus dibawa ke hospital.

"Doktor beritahu ada gegaran pada otaknya sehingga membuatkan dia hilang ingatan. Kami terkejut apabila mengetahui perkara ini, bingung jadinya apabila Ejai tidak dapat mengenali individu terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya kepada mStar.


Kumpulan Azarra Band popular dengan lagu Alalala Sayang.

Ejai atau nama sebenarnya Mohd Azrizal Aziz, 32, merupakan vokalis kumpulan Azarra Band yang popular dengan lagu Alalala Sayang.

Mohd Hairol berkata, mereka terpaksa membatalkan beberapa persembahan yang dijadualkan dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada Ejai untuk berehat.

“Kami ini belum terima sebarang perkembangan lanjut kerana dia masih berada dalam pemerhatian pakar, namun setakat ini kami terpaksa menangguhkan beberapa persembahan bagi memberi ruang kepadanya untuk sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut meminta orang ramai agar mendoakan kesihatan penyanyi itu.

Selain Ejai, Azarra Band turut dianggotai oleh Mohd Khairul Azam, Mohd Fauzan dan Mohd Hairol Azhar.

Azarra Band, Alalala Sayang

Artikel Lain