Perodua Optimis Jualan Suku Ke-4 Lebih Baik - Niaga | mStar

Perodua Optimis Jualan Suku Ke-4 Lebih Baik

Diterbitkan: Isnin, 30 Oktober 2017 11:58 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), yang mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 0.5 peratus kepada 151,600 unit bagi sembilan bulan pertama yang berakhir pada 30 September 2017, optimistik jualan lebih baik pada suku keempat 2017 berikutan inisiatif baru yang dirancang pada suku terakhir tahun ini.

Bagi suku ketiga 2017, jualan Perodua berkurangan sedikit, sebanyak 3.0 peratus, kepada 51,900 berbanding 53,500 yang dicatatkan pada suku ketiga 2016.

"Jumlah jualan yang lebih besar pada suku ketiga tahun lepas disebabkan Perodua Bezza baru diperkenalkan. Impak itu telah kembali normal sekarang dan jualan kami mendapat manfaat daripada pengenalan model itu," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PeroduaDatuk (Dr) Aminar Rashid Salleh dalam satu kenyataan, Isnin.

Perodua Bezza dilancarkan pada 21 Julai 2016.

Aminar berkata cabaran bagi suku keempat 2017 termasuk kelulusan pinjaman sewa beli yang mencabar dan jangkaan persaingan sengit daripada jenama kereta lain.

Beliau berkata terdapat sikap tunggu dan lihat bulan ini, dengan jangkaan pengumuman Bajet 2018, mengakibatkan penjualan yang agak perlahan.

"Suku keempat dijangka mencabar tetapi kami percaya kami dapat mengekalkan momentum jualan kami dan optimis dalam berhati-hati untuk memenuhi sasaran awal sebanyak 202,000 kenderaan menjelang akhir tahun 2017," katanya.

Aminar berkata setakat ini pada tahun ini, semua model Perodua merupakan model terlaris dalam kategori masing-masing.

Mulai Januari hingga September tahun ini, Axia adalah modal kompak segmen A paling laris dalam negara dengan 48,700 unit dijual, diikuti oleh Perodua Myvi yang merupakan jualan terlaris bagi segmen B negara dengan 42,000 unit, Perodua Bezza, terlaris sedan segmen A kompak pada 39,800 unit dan Perodua Alza, MPV terlaris dengan jualan 21,400 unit.

Mengenai prestasi lepas jualan Perodua, Aminar berkata penggunaan perkhidmatan meningkat 4.6 peratus kepada 1.58 juta bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2017 berbanding 1.51 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi pengeluaran pula, Perodua mengeluarkan 147,900 kenderaan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, pengurangan 3.8 peratus berbanding dengan 153,700 unit yang dihasilkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Aminar berkata pengurangan itu dirancang kerana sesetengah stok kenderaan dikeluarkan pada suku keempat 2016 sebagai respons kepada jangkaan kadar pertukaran yang lebih tinggi pada suku pertama 2017.– - Bernama 


Tags / Kata Kunci: Perodua , Aminar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan