suria

PRG Masukkan Rakan Kongsi Baharu Dalam Projek SPNB

Datuk Lua Choon Hann

KUALA LUMPUR: PRG Holdings Bhd merancang untuk memasukkan rakan usaha sama baharunya, Jiangsu Provincial Construction (M) Sdn Bhd (JPC) yang berpangkalan di China, dalam projek rumah mampu milik yang berpotensi bernilai RM5 bilion dengan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Pengarah Urusan Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata kebanyakan pembiayaan bagi projek tersebut daripada JPC.

Beliau berkata susulan pemeteraian perjanjian kerjasama antara PRG dan JPC hari ini, pihak berkenaan akan melantik pengarah bagi entiti usaha sama, Premier JPC Sdn Bhd.

"Kedua-dua pihak bersetuju lembaga pengarah Premier JPC terdiri daripada maksimum tujuh pengarah. Empat akan dicalonkan oleh PRG dan tiga oleh JPC," katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama itu di sini.

PRG akan memegang 51 peratus pegangan saham dalam Premier JPC manakala baki 49 peratus dipegang oleh JPC.  Walaupun keutamaan Premier JPC meneliti senarai projek di bawah SPNB, Lua berkata ia juga  akan menceburi pembangunan lebuh raya, jambatan, pelabuhan, perumahan selain membiayai projek di Malaysia dan luar negara.

Beliau berkata langkah itu merupakan satu lagi kerjasama rentas sempadan oleh syarikat tempatan dengan rakannya di China, sejajar dengan aspirasi kerajaan bagi lebih banyak penyertaan dalam inisiatif Jalur dan Laluan republik itu.

PRG menghargai pemindahan kemahiran dan pengetahuan daripada pengalaman luas JPC dalam lebih 10,000 projek pembinaan, dan pada masa akan datang, PRG akan menyediakan pengetahuannya mengenai pasaran domestik untuk menjayakan kerjasama tersebut.

"Kami baru sahaja menyenaraikan cabang pembuatan kami di Bursa Saham Hong Kong pada 16 Okt dan hasrat kami untuk terus mengembangkan syarikat melalui pengambilalihan dan penggabungan. Hong Kong merupakan hab kewangan yang kami berminat untuk meninjau.

“Tambahan pula, pada masa depan, jika kami perlu mengumpul dana bagi mana-mana projek pembinaan di Malaysia, ini akan menjadi aset dan sesuatu yang penting untuk menunjukkan institusi kewangan di sini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain