suria

MAHB, Honeywell Jalin Kerjasama Projek Lampu Lapangan Terbang

KUALA LUMPUR: Pembekal penyelesaian perisian berpangkalan di Amerika Syarikat, Honeywell, menjalin kerjasama dengan anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd, Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), bagi projek sistem kawalan dan pemantauan lampu bagi pencahayaan darat lapangan terbang yang bernilai jutaan dolar.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali berkata perkongsian itu akan meningkatkan keselamatan, keupayaan dan kecekapan operasi kawasan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Teknologi Honeywell akan mengawal dan memantau sistem kawasan lapangan terbang dan menyediakan maklumat lokasi masa nyata mengenai kegagalan lampu untuk membolehkan tindak balas dan pembaikan yang lebih pantas yang dapat mengurangkan risiko.

"Kerjasama kami dengan Honeywell adalah selaras dengan komitmen kami untuk mengekalkan keselamatan, meningkatkan kecekapan, memacu prestasi dan mengurangkan perbelanjaan operasi di samping mematuhi piawaian pengawalseliaan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

KLIA, gerbang utama ke Malaysia, diurus, dikendalikan dan disenggarakan oleh MASB.

Projek berkenaan merupakan penambahbaikan kerja sedia ada pengendali lapangan terbang dengan Honeywell, yang termasuk pemantauan dan kawalan lampu tunggal untuk Landasan 1 dan 2, dan sistem pengurusan bangunan di KLIA.

Presiden Honeywell Asean Briand Greer berkata projek itu akan meletakkan KLIA sebagai antara lapangan terbang paling maju di dunia dari segi teknologi, dengan keupayaan untuk bergerak ke arah teknologi 'hijau' yang maju.

Beliau berkata pencahayaan darat lapangan terbang, sebagai bantuan visual untuk pendaratan dan pakir pesawat, merupakan elemen penting dalam infrastruktur lapangan terbang.

Pemasangan lampu untuk landasan, kawasan pakir dan apron membolehkan juruterbang mengemudi pesawat di lapangan terbang yang mempunyai kedudukan kompleks dalam semua keadaan, dari memakir dan berlepas hingga ke pendaratan, katanya.

"Sistem kawalan dan pemantauan berkomputer Honeywell memudahkan operasi dan pemerhatian pemasangan pencahayaan dan memastikan keperluan keselamatan dipenuhi.

"Sistem ini menyediakan ruang kerja untuk petugas menara dan teknikal untuk mempermudahkan proses operasi harian dan mengoptimumkan aktiviti penyelenggaraan," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain