suria

Bank Islam Sedia Pinjaman Mudah Bantu LKS

KOTA BHARU: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyediakan pelbagai skim pinjaman mudah sehingga RM500,000 bagi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) termasuk pengusaha batik mengembangkan perniagaan mereka sekali gus meningkatkan pengeluaran batik negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, setakat ini BIMB telah mengeluarkan pinjaman lebih RM200 juta kepada pengusaha IKS sejak mula beroperasi di Kelantan pada 1983.

Zukri berkata, terdapat 327 usahawan batik di negeri ini berbanding 625 di seluruh negara.

"BIMB bersedia membantu usahawan batik mendapatkan pinjaman bank, manakala Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula menyediakan kepakaran dari segi pembuatan batik kontemporari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Fiesta Batik Malaysia 2016 di Dataran Al-Quran di sini, Rabu.

Hadir sama Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Profesor Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Zukri yakin produk batik negara, terutama dari Kelantan mampu menembusi pasaran antarabangsa kerana kehalusan seni pembuatannya.

"Bagaimanapun pengusaha batik terkekang dengan modal pusingan dan oleh sebab itu, pembatik boleh mengunjungi mana-mana cawangan BIMB seluruh negara untuk mendapatkan pinjaman dan yang penting industri batik berpotensi untuk dikembangkan," katanya.

Sementara itu Dr Ibrahim berkata, UMK memiliki ramai pakar dalam bidang inovasi dan penyelidikan batik bagi membantu pengusaha batik bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus mempromosi batik negara. - BERNAMA

Bank Islam, LKS

Artikel Sebelum

Ikea Bakal Dibuka Di Johor

Artikel Berikut

Artikel Lain