suria

KUALA LUMPUR: 'Simpanan Shariah' yang baru dilancarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mematuhi rangka kerja tadbir urus Syariah yang komprehensif bagi memastikan operasi dan pelaburannya mematuhi parameter pelaburan Syariah.

KWSP dalam satu kenyataan berkata parameter itu akan disahkan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah (SAC) yang dianggotai tidak kurang daripada tiga ahli yang berkelayakan dalam bidang syariah atau mempunyai pengetahuan dan pengalaman syariah dalam aspek perbankan, kewangan dan undang-undang atau disiplin lain yang berkaitan.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen KWSP dalam tadbir urus korporat, SAC akan menyediakan dan mengeluarkan laporan mengenai pematuhan Syariah oleh 'Simpanan Shariah' setiap tahun kewangan," katanya.

SAC kini dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) Prof Dr Mohamad Akram Laldin.

Jawatankuasa ini terdiri daripada pensyarah Sekolah Ekonomi dan Pengurusan Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Zaharuddin Abd Rahman dan pensyarah Institut Perbankan dan Kewangan Islam Dr Aznan Hasan.

Sementara itu, strategi pelaburan 'Simpanan Shariah' akan berpandukan objektif Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bertujuan meningkatkan nilai simpanan persaraan ahli.

Pelaburan itu mematuhi garis panduan dan dasar pelaburan beretika yang  antara lain, melarang dana daripada melabur dalam sektor yang menggalakkan perjudian, mengeluar dan mengedar senjata ketenteraan, menghasilkan dan menggalakkan alkohol dan mempromosi dan mengedarkan hiburan dewasa.

KWSP juga tidak mempunyai pendedahan di negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Mengulas lanjut, ia berkata 'Simpanan Shariah' dibuka kepada semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan, dan akan diberikan pilihan sama ada akaun mereka diurus dan dilaburkan mengikut prinsip Syariah.

KWSP berkata akaun itu diperkenalkan hasil permintaan ahli KWSP berdasarkan rundingan awam mengenai Skim Peningkatan KWSP yang diadakan pada April tahun lepas yang menunjukkan 71 peratus daripada responden bersetuju terhadap pengenalan pilihan simpanan persaraan patuh Syariah.

Bagaimanapun, berbeza dengan akaun konvensional yang menjamin dividen minimum 2.5 peratus setahun, ia berkata 'Simpanan Shariah' tidak memberikan  jaminan dividen minimum, dengan pulangan adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan yang mematuhi Syariah.

Satu lagi perbezaan ialah penggunaan Akad Wakalah dalam pengurusan dan pelaburan 'Simpanan Shariah' manakala Simpanan konvensional tidak tertakluk kepada mana-mana akad atau perjanjian itu.

Menurut kertas konsep oleh jabatan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara Malaysia, Wakalah merujuk kepada kontrak sesebuah agensi untuk melaksanakan tugas tertentu dalam hal-hal yang boleh diwakilkan, dengan atau tanpa pengenaan yuran.

Menurut kertas konsep itu, jika bayaran dibuat semasa membuat kontrak wakalah yang dikenali sebagai 'wakalah bi al-ujrah', yuran yang dibayar mungkin dalam bentuk amaun sebenar atau nisbah tertentu daripada jumlah tertentu atau jumlah yang dikaitkan dengan penanda aras.

Sementara itu, KWSP berkata ahli yang memilih untuk bertukar kepada 'Simpanan Shariah' tidak dibenarkan untuk membatalkan keputusan mereka dan kembali kepada Simpanan Konvensional selepas tarikh kuat kuasa.

Ahli KWSP hanya boleh memilih satu jenis akaun, sama ada Simpanan Konvensional atau 'Simpanan Shariah'.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain