suria

Sime Darby Property Akan Lancar Alya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd, cabang pembangunan hartanah Sime Darby Bhd, memperkenalkan Alya Kuala Lumpur, projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM8 bilion.

Pengarah Urusannya Datuk Jauhari Hamidi berkata projek itu yang melibatkan lapan bahagian pembangunan yang meliputi kawasan seluas 145.69 hektar (ha), dijangka siap menjelang 2025.

Alya Kuala Lumpur sebelum ini dikenali sebagai Kuala Lumpur Golf  and  Country Club Resort.

"Menerusi pelancaran identiti jenama yang segar ini, kami merancang mewujudkan model global baharu jenama gaya hidup mewah rakyat Malaysia yang boleh direplikasikan di seluruh dunia," katanya pada prebiu media Alya Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jauhari berkata pembangunan pertama, Senada di Alya, dijadual dilancarkan bulan depan.

Ia melibatkan pembinaan dua menara kediaman dengan 429 unit pangsapuri dan suites perkhidmatan, katanya.

Beliau berkata anggaran GVD projek itu RM800 juta dan pembangunan mengambil masa 48 bulan.

"Alya merangkumi kawasan hartanah utama terakhir di Kuala Lumpur dan pembangunannya memang ditunggu-tunggu.

"Sebagai antara pemaju hartanah terkemuka Malaysia, kami bukan sahaja akan terus komited untuk mengekalkan kedudukan kami sebagai pemimpin, bahkan mahu kekal sebagai pemaju yang dipercayai dari segi standard dan kualiti tertinggi," katanya.

Alya Kuala Lumpur terletak bersebelahan taman awam Bukit Kiara seluas 99.15 hektar, dikelilingi pinggiran bandar Kuala Lumpur yang moden.

Kawasan pinggir bandar elit di situ dilengkapi sekolah antarabangsa, pusat pakar, gedung runcit, premis makanan dan minuman, serta pusat penjagaan kesihatan.

Jauhari berkata Alya Kuala Lumpur dijangkakan dibiayai menerusi pembiayaan dalaman dan pinjaman bank.

Alya, Sime Darby

Artikel Berikut

Artikel Lain