suria

11 Syarikat OGSE Malaysia Sertai OTC Di Houston

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta peralatan (OGSE) Malaysia menyertai Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Houston, Amerika Syarikat dari 2 hingga 5 Mei ini.

Penyertaan mereka diatur oleh Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Datuk Shahrol Halmi berkata persidangan tersebut akan membolehkan syarikat OGSE Malaysia mendapat pendedahan antarabangsa dan meluaskan pasaran mereka.

Beliau berkata OTC akan turut memberi laluan kepada syarikat Malaysia untuk menjadi rakan kongsi kepada syarikat OGSE global. 

"Rantau Asia Pasifik dilihat sebagai antara pasaran perkhidmatan medan minyak yang berkembang pesat dan diunjurkan mencecah AS$107 bilion nilai pasaran menjelang 2019. 

"Kami percaya syarikat OGSE global akan dapat menjalin pakatan strategik dengan syarikat OGSE Malaysia untuk memudahkan pelan pertumbuhan mereka di Asia," katanya dalam kenyataan, Selasa.

Syarikat yang merangkumi campuran perusahaan kecil dan sederhana dan syarikat, serta MPRC dan Matrade yang ditempatkan di bawah Pavilion Malaysia  bertemakan "Berkembang di Asia dari Malaysia". 

Pavilion Malaysia akan membantu syarikat OGSE Malaysia mencapai pembuat keputusan global daripada pavilion negara utama dengan sumber petroleum yang besar, syarikat minyak negara dan bebas, profesional industri dan ahli akademik.-- Bernama



Shahrol Halmi, MPRC, Matrade

Artikel Lain