suria

Agrobazaar Malaysia Mudahkan Rakyat Singapura Peroleh Produk Halal

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (dua kanan) merasa minuman yang dijual di Agrobazaar Malaysia pada majlis perasmian Melaka Plate @ Kempen Riuh De Agrobazaar di Agrobazaar Malaysia di Singapura, Isnin. Enam menu makanan Melaka, laksa nyonya, ikan bakar, gerang asam, ayam pongteh, cucur udang dan cendol dijual di agrobazaar ini selama dua minggu bermula Isnin. Selain itu, sebanyak 15 syarikat dari Melaka diberi peluang memasarkan kira-kira 43 produk keluaran syarikat mereka di agrobazaar sama.

SINGAPURA: Pembukaan Agrobazaar Malaysia di Singapura di Sultan Gate di sini memudahkan rakyat Singapura mendapatkan pelbagai produk makanan dan masakan halal tanpa rasa was-was.

Agrobazaar Malaysia yang dibuka pada 2014 itu juga menjadi medium untuk rakyat Kota Singa itu mengenali pelbagai produk negara terutama dari Melaka.

Hasleen Abdul Rahim, 49, dari Bishan, Singapura berkata dia dan keluarga amat teruja apabila melihat Agrobazaar Malaysia ketika berada di kawasan sekitar Sultan Gate semalam kerana sebelum ini dia tidak mengetahui tentang kewujudan pusat sehenti pelbagai produl halal tempatan Malaysia itu.

"Ini kali pertama saya ke sini setelah dua tahun dibuka kerana tidak tahu.

Selepas ini kami tidak lagi perlu ke Johor atau Melaka untuk mendapatkan produk buatan Malaysia terutama produk halal. Pelbagai rangkaian produk ada di sini dan saya serta keluarga amat teruja untuk mencubanya.

"Saya dan keluarga juga akan cuba masakan Melaka yang ditawarkan di sini," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian pelancaran program Melaka Plate @ Kempen Riuh De Agrobazaar di Agrobazaar Malaysia di Singapura di sini disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Hasleen, pengurus di sebuah syarikat swasta di republik itu berkata promosi berterusan perlu dilakukan bagi menghebahkan pembukaan Agrobazaar Malaysia kerana ia masih belum diketahui kebanyakan penduduk Singapura.

Bagi Azizah Abdul Karim, 63, dari Woodlands, berkata antara tarikan utama beliau ke agrobazaar tersebut ialah pelbagai juadah masakan halal Malaysia yang dijual di restoran.

"Saya telah berkunjung di Agrobazaar Malaysia sejak ia mula dibuka dan sangat berpuas hati dengan produk ditawarkan yang pasti halal terutama masakan yang dijual di restoran.

"Saya selalu datang bersama rakan-rakan terutama untuk makan malam di restoran ini kerana keadaannya yang tenang dan selesa," katanya.

Pesara polis itu berkata dia dan tiga rakannya amat bertuah kerana dapat menikmati enam menu iaitu laksa nyonya, ikan bakar, gerang asam, ayam pongteh, cucur udang Melaka dan cendol Melaka sempena program selama dua minggu, bermula semalam.Beliau berkata masakan Melaka amat dekat di hatinya kerana keluarganya berasal dari Melaka dan makanan tersebut mempunyai keunikan tersendiri.

"Tadi saya sempat mencuba keenam-enam menu tersebut tetapi laksa Nyonya dan cendol Melaka merupakan makanan yang menjadi kegemaran saya. Jadi dalam tempoh dua minggu ini saya berpeluang merasa makanan tersebut lagi," katanya.

Agrobazaar Malaysia menawarkan konsep 'fru-ce-rant' iaitu 'fruit, grocery dan restaurant' itu turut merangkumi empat kluster iaitu 'Pangkin' yang memberi peluang pelanggan merasai suasana dusun dengan infra pangkin yang menghimpunkan pelbagai buah-buahan tempatan Malaysia.

Kluster 'Nak Lagi!!' bagi mengetengahkan produk industri asas tani, 'Happy Hours' yang memberi tawaran harga istimewa bagi minuman kopi dan 'Taste of Malaysia' yang menawarkan makanan tradisi Melayu mengikut negeri yang ditawarkan mengikut masa yang ditetapkan.-- Bernama

Artikel Lain