Celcom Peruntukkan Perbelanjaan Modal RM1.2 Bilion Tahun Ini

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 3:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyedia telekomunikasi mudah alih, Celcom Axiata Bhd, memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1.2 bilion untuk perbelanjaan modal tahun ini bagi meningkatkan tawaran perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata perbelanjaan modal itu akan digunakan untuk memperluaskan kawasan perkhidmatan 4G, serta membangunkan liputan yang lebih berkualiti di 25 kawasan bandar utama yang dikenal pasti.

"Kawasan bandar utama ini akan mempunyai perkhidmatan lebih berkualiti tinggi dari segi rangkaian 4G dan kelajuan jalur lebar yang sangat standard supaya mereka yang menggunakan perkhidmatan kami, terutamanya 4G, akan menikmati  penstriman, muat turun, muat naik dan akses kepada Internet yang lebih lancar pada bila-bila masa dalam lingkungan kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran pelan Platinum Celcom First di sini, Khamis.

'First Platinum', tambahan terbaru kepada jenama 'First' selepas 'Blue' dan 'Gold', menyasarkan pelanggan segmen premium dengan penggunaan data yang tinggi.

Pelan itu, ditawarkan pada RM150 sebulan, menyediakan 18 gigabit (GB) kuota data sebulan, panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa had ke semua rangkaian, serta sehingga 9GB Internet yang tidak gunakan boleh dibawa ke hadapan.

Pendaftaran bagi pelan itu dibuka mulai 15 April hingga 31 Mei, 2016.

Shazalli berkata Celcom turut menyasarkan untuk meningkatkan pangkalan pelanggan pengguna data sebanyak 35 peratus tahun ini dengan didorong tawaran pelan di bawah jenama 'First'.

Tahun lepas, pelanggannya berjumlah 12 juta dengan tujuh juta daripadanya ialah pengguna data.

"Kami menyaksikan pertumbuhan yang baik dalam segmen pelanggan pasca bayar kerana jenama 'First' menawarkan pelan yang sangat baik," katanya dengan menambah, syarikat itu ketika ini mencatatkan lebih daripada 3,000 pengguna pasca bayar baharu setiap hari.

Sempena pelancaran itu, Celcom menawarkan enam unit Perodua Axia di bawah kempen 'Keep Calm and Win a Perodua Axia' kepada pelanggan baharu pelan 'First Platinum' dan 'Gold'.

Syarikat telekomunikasi itu turut menawarkan 1,000 pas Golden Lounge Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kepada pelanggan 'First Platinum' mengikut 'siapa cepat dia dapat'.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Celcom Axiata Bhd , Shazalli Ramly

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan