FGV Serah Zakat RM381,000 Untuk Asnaf Di Perlis

Diterbitkan: Sabtu, 16 April 2016 1:22 PM

(Ubah saiz teks)

ARAU: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menerusi anak syarikatnya MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), menyerahkan sumbangan sebanyak RM381,000 kepada golongan asnaf di Perlis, Jumaat.

Ketua Kluster Huluan Sawit FGV, Datuk Abdul Halim Hamid, berkata ia adalah sebahagian daripada keseluruhan RM5 juta zakat perniagaan MSM yang mana RM3.5 juta diperuntukkan kepada Perlis.

Ia susulan usaha FGV menyerahkan sejumlah RM18.3 juta kepada pusat-pusat zakat negeri-negeri pada tahun lepas.

Menurutnya daripada jumlah RM381,000 untuk Perlis, sebanyak RM291,000 diagihkan kepada 91 orang asnaf; RM50,000 bagi tujuan menaiktaraf Masjid Al-Barakah Jelempok serta RM20,000 bagi menaiktaraf Masjid Al-Islah, Ngulang.

"Sebanyak RM10,000 diperuntukkan kepada pembinaan Pusat Autisme Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan RM10,000 lagi kepada Sekolah Rendah Agama At-Tarbiyah Al-Islamiyah di Tunjung, Beseri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis program Kayuhan Tautan Kasih bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid A-Barakah Jelempok, Jumaat.

Pada program itu, Tuanku Syed Faizuddin menyertai 150 orang ke beberapa buah kampung bagi menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada golongan asnaf.

Abd Halim berkata ia adalah program pertama seumpamanya di Perlis selain menjadi sebahagian tanggungjawab sosial korporat FGV dan berharap sumbangan itu dapat meringankan beban penerimanya.

Selain itu, mengulas peningkatan semula harga sawit sekarang, beliau berkata  ia dapat menampung kehilangan hasil akibat kemerosotan pengeluaran sebanyak 6-10 peratus akibat faktor cuaca yang terlalu panas.

"Kehilangan pendapatan ini bagaimanapun tidak menjejaskan FGV dan saya jangka hasil ini akan meningkat semula dalam tempoh separuh kedua tahun ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan