suria

Untung Q3 Boeing Meningkat 25 Peratus

KUALA LUMPUR: Syarikat aeroangkasa terbesar dunia berdasarkan jualan, Boeing, mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi, sebanyak US$1.7 bilion bagi tempoh suku ketiga atau peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding US$1.36 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan melonjak sembilan peratus kepada US$25.8 bilion berbanding US$23.78 bilion sebelumnya hasil daripada penyerahan komersial yang mencatat rekod, kata Boeing.

"Dengan terus melakukan penyerahan yang menguntungkan daripada tunggakan besar dan pelbagai, kami berjaya memacu pertumbuhan kukuh dalam perolehan, pendapatan dan aliran tunai.

"Prestasi operasi yang mantap dalam keseluruhan perniagaan komersial dan pertahanan pada suku itu juga turut menyokong pelaburan berterusan kami dalam inovasi dan pekerja, dan komitmen kami untuk mengembalikan wang tunai kepada pemegang saham," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Dennis Muilenburg.

Beliau berkata keputusan tiga suku yang kukuh dan keyakinan terhadap prestasi operasi berterusan Boeing, membolehkan syarikat itu meningkatkan pendapatannya, pendapatan sesaham dan aliran tunai operasi tahun ini.

Boeing menjangkakan penghantaran jet komersial tahun ini berjumlah  antara 755 dan 760 berbanding 750-755, dengan hasil dijangka berada pada julat US$95 bilion kepada US$97 bilion, meningkat daripada US$94.5 bilion kepada US$ 96.5 bilion sebelum ini.

"Untuk masa hadapan, pasukan kami akan terus memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti serta keupayaan penyampaian bagi memenuhi jangkaan pelanggan," kata Muilenburg.

Mengulas lanjut mengenai keputusan suku ketiga, Boeing berkata perolehan suku ketiga pesawat komersial meningkat 10 peratus kepada US$17.6 bilion hasil daripada jumlah penghantaran dan gabungan pesawat yang lebih tinggi.

Margin operasi suku ketiga sebanyak 10 peratus, mencerminkan Penyelidikan dan Pembangunan (R and D) dan kesan kecairan yang lebih tinggi bagi penghantaran 787, sebahagiannya diimbangi oleh prestasi kukuh dalam program pengeluaran.

Pada suku berkenaan, syarikat itu memulakan pemasangan akhir dan mengoperasikan pesawat pertama 737 MAX, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya, program 737 memperoleh hampir 2,900 tempahan bagi 737 MAX sejak dilancarkan. Pada suku itu, syarikat berkenaan menyiapkan konfigurasi kukuh untuk 777X. Program 777X untuk penghantaran pertama pada 2020 berjalan mengikut jadual.

Syarikat penerbangan komersial membuat tempagan bersih 166 pesawat pada suku kedua. Tunggakan kekal kukuh dengan hampir 5,700 pesawat bernilai US$426 juta.

Perolehan Defence, Space  and  Security pada suku bernilai US$8.4 bilion dengan margin operasi sebanyak 12.2 peratus.

Perolehan suku ketigaBoeing Military Aircraft (BMA) meningkat 15 peratus kepada USS$4.1 bilion, sebahagian besarnya hasil daripada rundingan kontrak F-15 dengan margin operasi BMA sebanyak 12.2 peratus.

Pada suku keempat, BMA menerima kontrak untuk 13 pesawat P-8A Poseidon, 22 Apache helikopter, dan 15 helikopter Chinook.

Pada suku kedua, syarikat itu dan Tentera Udara US menyelesaikan penerbangan pertama pesawat tanker KC-46A.

Tunggakan di peringkat Defence, Space  and  Security berjumlah US$59 bilion, dengan 40 peratus membabitkan pesanan daripada pelanggan antarabangsa, kata Boeing.

Boeing, Q3

Artikel Berikut

Artikel Lain