Penyusutan Ringgit Mampu Tarik Pelabur China Ke Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2015 3:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyusutan ringgit ketika ini mampu memanfaatkan kalangan pelabur China yang melabur di negara ini, kata Dewan Perniagaan Malaysia-China.

"Apabila berlakunya penyusutan ringgit, syarikat China boleh mendapat ganjaran menerusi pelaburan di Malaysia yang kini menjadi lebih murah.

"Pada masa sama, Malaysia turut menawarkan peluang kemakmuran yang terus meningkat," kata Presiden Dewan itu, Datuk Bong Hon Liong, kepada wartawan di luar Sidang Kemuncak Perniagaan LED, di sini, Jumaat.

Beliau turut menyifatkan persidangan yang dihadiri syarikat tempatan serta China, akan membawa faedah kepada penggiat LED dua negara itu yang berhasrat untuk bekerjasama di pasaran tempatan.

Mengulas lanjut penyusutan ringgit, Bong bagaimanapun mengingatkan kelemahan ringgit berbanding renminbi akan memberi cabaran kepada Malaysia dalam usahanya mencapai sasaran perdagangan sebanyak AS$160 bilion menjelang 2017 (RM1=AS$4.38).

Malah, ada kalangan penggiat tempatan yang berdepan cabaran dalam urusan  perdagangan di China berikutan transaksinya sama ada dalam renminbi atau dolar Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, beliau berharap penyusutan ringgit tidak akan berterusan bagi jangka panjang kerana boleh meningkatkan kos dan seterusnya membebankan penggiat industri di Malaysia.

Menurut Bong, pada masa ini, biarpun ringgit susut, ia masih kukuh berbanding renminbi iaitu kira-kira 68 sen berbanding 1 sen renminbi China.

Sejajar kedudukan China sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2009, katanya, prospek masa depan dijangka memberangsangkan bagi pertumbuhan lebih besar bagi tempoh akan datang.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan China kekal pada AS$102 bilion pada  2014.

Bagi tempoh Januari dan Julai 2015, jumlah dagangan itu adalah sebanyak  AS$57.09 bilion sekaligus menjadikan China rakan dagang terbesar di Malaysia.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: ringgit , China , LED

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan