Jerman Cari Pasaran Baharu

Diterbitkan: Selasa, 1 September 2015 4:28 PM

(Ubah saiz teks)

FRANKFURT: Kelembapan ekonomi China dan ketidakstabilan  renmnbi baru-baru ini telah menyebabkan industri dan perniagaan Jerman mencari pasaran baharu di kawasan-kawasan lain di dunia.

Ekonomi Jerman yang berorientasikan eksport dan kekurangan bahan mentah serta sumber, banyak bergantung kepada pasaran luar.

Banyak syarikat Jerman yang bergantung kepada China untuk hidup terutama sekali, perusahaan kecil dan sederhana, yang telah berkembang pesat berikutan lonjakan permintaan dari China untuk produk-produk bermutu tinggi.

Bagaimanapun, perkembangan terkini di China amat merisaukan syarikat-syarikat Jerman, sehingga memaksa mereka untuk meninjau dan mengenal pasti potensi pasaran dunia untuk produk mereka.

Menteri Ekonomi Jerman, Sigmar Gabriel, muncul tenang dengan perkembangan di China walaupun pihak industri sendiri berasa tidak selesa.

Beliau baru-baru ini memberitahu wartawan bahawa perkembangan di China tidak akan menjejaskan perdagangan Jerman.

Malahan, pegawai-pegawai di kementerian itu menyatakan selain China, wujud  pasaran lain yang lebih menarik dan boleh menjadi satu opsyen.

India, bakal menjadi negara yang paling ramai penduduk, semakin menjadi tarikan kepada pihak industri.

Semua syarikat-syarikat Jerman yang besar mengekalkan kehadiran yang kuat di India.

Seorang usahawan yang berpangkalan di Frankfurt berkata syarikat-syarikat Jerman yang lain juga sedang mencari peluang pelaburan di India.

"Ia adalah lebih baik untuk melabur dan menghasilkan produk dari dalam pasaran berbanding mengeksport dari Jerman, di mana dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan harga produk meningkat," katanya kepada Bernama.

Kelembapan China yang telah menyebabkan keresahan di kalangan perniagaan Jerman, juga menyebabkan mereka melihat ke arah kumpulan negara Asean yang mana perdagangannya dengan Jerman mencatatkan keputusan positif dalam separuh pertama tahun ini.

Seorang wakil daripada Persatuan Kilang Pengeluaran dan Mesin Jerman yang berpangkalan di Frankfurt memberitahu Bernama, industri Jerman menyambut baik langkah Asean dalam membentuk Komuniti Ekonomi Asean menjelang penghujung 2015.

Jerman mengksport (+8.5 peratus) kepada dan mengimport (+20.1 peratus) daripada Asean dan telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh berbanding dengan separuh pertama 2014.

Jumlah eksport Asean ke Jerman dalam tempoh enam bulan pertama 2015 telah mencecah 16.84 bilion, naik 20.1 peratus, manakala import Asean dari Jerman mencapai 11.296 bilion, naik 8.5 peratus berbanding enam bulan pertama tahun sebelum ini.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Jerman , Asean

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan