suria

MOU BNM-Bank Of Thailand Akan Bawa Kejayaan AEC

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yakin memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand adalah langkah penting yang pada akhirnya akan membawa kejayaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Beliau berkata MoU itu menandakan komitmen teguh negara anggota ASEAN untuk memperkukuh hubungan dan mempertingkat kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan di rantau ASEAN.

MoU itu ditandatangani semalam bagi mewujudkan satu rangka kerja untuk kerjasama menggalakkan penyelesaian perdagangan dua hala dan pelaburan langsung dalam mata wang tempatan mereka.

Beliau berkata MoU itu juga menandakan hubungan rapat anggota ASEAN untuk bekerjasama bagi mencapai matlamat yang sama iaitu memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mempromosi kestabilan kewangan.

"Ia menyusuli MoU yang meterai oleh Bank Negara Malaysia dan People's Bank of China berkenaan pengaturan penyelesaian renminbi di Malaysia pada November lepas.

"Kedua-dua MoU adalah langkah positif ke arah membina daya tahan terhadap ketidaktentuan mata wang penyelesaian global," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata AEC adalah inisiatif bersama utama untuk mencapai integrasi ekonomi serantau yang lebih jauh dan mewujudkan pasaran bersepadu bagi membolehkan pengaliran tanpa halangan barangan, perkhidmatan, pelaburan selain pengaliran modal serta tenaga kerja mahir yang lebih bebas.

AEC, Bank Of Thailand, BNM

Artikel Lain