Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Catat Untung RM34 Juta Pada 2014

Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 4:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd (KSKHSB) mencatatkan keuntungan keseluruhan berjumlah RM34.02 juta dalam tahun kewangan 2014 berbanding RM45.34 juta pada tahun sebelumnya.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Wan Mat Amin Wan Daud berkata, penurunan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti ketidakstabilan harga minyak sawit mentah dan juga kejatuhan harga isirong sawit.

"Walaubagaimanapun semua ini tidak menjejaskan operasi keseluruhan syarikat," katanya pada sidang media sempena majlis berbuka puasa Ketengah bersama media, di sini, Ahad.

KSKHSB yang berada di bawah Ketengah terdiri daripada 10 anak syarikat, tiga anak syarikat usaha sama dan tiga syarikat bersekutu dengan Ketengah Holding merupakan syarikat induk iaitu syarikat pelaburan.

Kumpulan itu terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan seperti perladangan, perdagangan, pembinaan, kuari dan perkilangan yang mana aktiviti utamanya adalah mengeluar dan memproses kelapa sawit.

"Penyumbang terbesar kepada keuntungan ini ialah melalui sektor perladangan iaitu Ketengah Perwira Sdn Bhd yang mencatat keuntungan sebanyak RM11.58 juta, diikuti Ladang Ketengah Jaya (RM10.24 juta) serta YIT Ketengah Perwira (RM4.25 juta) manakala di sektor perkilangan pula Kilang Sawit Panji Alam (RM4.08 juta)," katanya.

Selari dengan perkembangan semasa, Wan Mat Amin berkata Ketengah Holding kini turut memperhebatkan usaha dalam bidang lain khasnya pembangunan sektor hartanah.

Menurutnya, ketika ini Ketengah Properties, unit Ketengah Holdings mempunyai dua projek yang akan dilaksanakan iaitu projek pembangunan bercampur di Bandar Al-Muktaffi Billah Shah di Dungun seluas kira-kira 9.3 hektar dan juga projek pembangunan bercampur di Bandar Baharu Cheneh di Kemaman di kawasan seluas 10.6 hektar.

"Penglibatan pelbagai bidang bukan sahaja akan menjamin peningkatan keuntungan pada masa depan, tetapi pada masa sama akan mengelakkan pergantungan kepada sektor perladangan dan perkilangan semata-mata," katanya. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Ketengah , Wan Mat Amin Wan Daud

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan