suria

TH-MAS Jalin Pakatan Bawa Jemaah Haji Tahun Ini

Kerjasama TH dan MAS untuk membawa jemaah haji bermula sejak 1980-an lagi.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian dengan Penerbangan Malaysia (MAS) bagi penerbangan sewa khas membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada musim haji 1436H/2015.

Kerjasama TH dan MAS membawa jemaah haji ke Tanah Suci telah bermula sejak tahun 1980an lagi.

Pengalaman dan kecekapan syarikat penerbangan itu menguruskan penerbangan sewa khas jemaah haji Malaysia mendorong TH untuk meneruskan kerjasama berkenaan, demikian menurut TH dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail berkata TH amat menitiberatkan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia dan yakin MAS meneruskan perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan selama ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Christoph Mueller berkata:  "Malaysia Airlines, bersama-sama TH, komited untuk menyediakan perkhidmatan yang komprehensif serta selesa di darat dan di dalam kapal kepada jemaah Haji.

"Kami amat berbesar hati kerana terpilih untuk kerjasama operasi Haji ini dan gembira segala urusan telah mencapai standard yang diharapkan."

Tahun ini, MAS akan menyediakan 78 penerbangan sewa khas MAS bagi penerbangan pergi balik menggunakan pesawat B777-200 untuk membawa jemaah haji.

Penerbangan sewa khas tersebut akan berlepas ke Tanah Suci dalam dua peringkat, dengan fasa pertama bermula 16 Ogos hingga 16 Sept, 2015, manakala penerbangan peringkat kedua dijadualkan meninggalkan Tanah Suci bermula 29 September hingga 28 Oktober 2015.

Perkhidmatan penerbangan sewa khas ini akan disediakan di tujuh stesen berlepas iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Baharu, Terengganu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Sarawak antara Jeddah dan Madinah.--Bernama




Tabung Haji, MAS, jemaah

Artikel Lain