Eco World Akan Bangunkan Perbandaran Baharu Di Batu Kawan

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2015 4:14 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Eco World Development Group Bhd akan memulakan projek pembangunan bercampur RM10 bilion dikenali sebagai Eco Marina di Batu Kawan dalam tempoh sembilan bulan akan datang selepas menerima surat anugerah untuk membangunkan 182 hektar tanah di Bandar Cassia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chang Khim Wah berkata, projek itu akan merangkumi 121 hektar hartanah kediaman dan komersil manakala 61 hektar lagi akan dijadikan padang golf 18 lubang bertaraf antarabangsa dengan rumah kelab.

Menurutnya, majlis pecah tanah akan diadadakan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan dan projek itu akan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk siap sepenuhnya.

"Kami sedang meneliti untuk mewujudkan perbandaran baharu di tanah besar Pulau Pinang yang akan menjadi penanda aras baharu dalam industri hartanah di kawasan utara," katanya kepada pemberita selepas menerima surat anugerah itu daripada Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Datuk Rosli Jaafar di sini, Selasa.

Majlis itu disaksikan Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Eco World akan membeli bidang tanah pertama dan memajak bidang tanah kedua untuk pertimbangan berjumlah kira-kira RM769 juta.

Khim Wah juga berkata, Batu Kawan akan menjadi projek tepi pantai pertama kumpulan yang akan juga merangkumi komponen runcit dan hotel.

Menurutnya, Eco Marina mempunyai potensi besar menjadi satu daripada kawasan kediaman dan komersil pilihan di Malaysia.

"Gabungan impak daripada kawasan tepi pantai yang aktif serta padang golf bertaraf antarabangsa bukan sahaja akan menarik pembeli tempatan, tetapi juga pelabur hartanah dari seluruh dunia," katanya.

EcoWorld, kata Khim Wah, mempunyai kira-kira 219 hektar tanah yang belum dimajukan di Pulau Pinang manakala bank tanahnya di seluruh Malaysia mempunyai  2,183 hektar.

Pembelian tanah itu akan menjadi bidang tanah kedua di Batu Kawan untuk Eco World selepas ia memiliki 24.28 hektar di kawasan itu di mana ia merancang melancarkan pembangunan bercampur RM920 juta dikenali sebagai EcoMeadows, mengandungi 50 peratus kediaman dan 50 peratus komponen komersil pada separuh kedua tahun ini.

Satu lagi projek Eco World, iaitu EcoTerraces di Paya Terubong, adalah projek kondominium mewah berkepadatan rendah yang memaparkan landskap hijau dengan beberapa kolam renang dengan harga RM800 sekaki persegi.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan