suria

Penjualan Hartanah KWSP Di London Capai Penilaian Tertinggi Dalam Sejarah Kota Berkenaan

KUALA LUMPUR: Penjualan hartanah One Sheldon Square di London kepada syarikat hartanah terbesar United Kingdom, British Land, pada harga 210 juta pound merupakan penilaian tertinggi dalam sejarah kota London, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata, penjualan hartanah berkenaan yang dibeli pada harga 150 juta pound pada 2010, membolehkan KWSP memperoleh keuntungan terbaik.

"Kita berpendapat bahawa bangunan itu telah mencapai satu 'valuation' yang tidak pernah dicapai dalam sejarah bandar London dan kita berpeluang memperoleh keuntungan yang bagus dan akan digunakan untuk pelaburan akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan empat inisiatif penambahbaikan skim KWSP.

Beliau berkata, penjualan hartanah berkenaan dibuat melalui proses bidaan yang disertai lebih 20 syarikat.

One Sheldon Square terdiri daripada hampir 200,000 kaki persegi ruang pejabat merangkumi sembilan tingkat dan telah disewakan sepenuhnya kepada Visa Europe Services sehingga Disember 2022.

Mengenai empat inisiatif penambahbaikan skim KWSP, ia termasuk memberi pilihan terhadap penyelarasan umur pengeluaran penuh dengan umur persaraan minimum yang ditetapkan kerajaan bertujuan untuk menangani isu-isu berkaitan ketidakcukupan simpanan persaraan dalam kalangan ahli KWSP dalam jangka panjang.-- Bernama

Artikel Lain