PNB Gandakan Terbitan Unit Amanahnya Kepada 200 Bilion

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 12:17 PM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menggandakan langganan unit amanahnya kepada 200 bilion dalam tempoh enam tahun lepas sejak 2009, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau berkata, selepas penubuhannya pada 1981, PNB menetapkan sasaran menjual 100 bilion unit yang dicapainya pada 2009, dan berjaya menggandakan angka itu kurang dari enam tahun.

"Ini mencerminkan kesedaran dan kefahaman orang ramai terhadap unit amanah semakin meningkat," katanya pada pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia 2015 (MSAM 2015), di sini pada Ahad.

Hamad Kama Piah berkata, usaha berterusan PNB dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai konsep pelaburan dan pengurusan kewangan, sudah membuahkan hasil dan pada masa yang sama kejayaan skim unit amanah PNB memperkukuh keyakinan ramai.

MSAM kali ke-16 yang berlangsung selama sembilan hari di Dataran Sibu, dijangka menarik lebih 150,000 pengunjung.

Sibu menjadi bandar kedua di Sarawak menganjurkan acara ini selepas Kuching yang berjaya menarik 187,000 pengunjung pada 2010.

Hamad Kama Piah berkata MSAM semakin meningkat saban tahun bagi menjadikannya lebih berkesan dan interaktif.

"Lebih banyak program interaktif ditambah tahun ini, termasuk perbincangan bagi membantu orang ramai merancang kewangan dan mengurus kehidupan mereka dengan lebih baik," katanya.

MSAM kali ini menyediakan aktiviti pendidikan mengenai perancangan pelaburan dan kewangan selain pameran oleh 40 pempamer.

Program yang diatur termasuk 'Maybank Mewarnai Duniaku','Jejak Pelabur Bijak NCB' dan Simposium Usahawan Bumiputera MIDF oleh syarikat-syarikat kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia, agensi kerajaan dan swasta.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: PNB , Minggu Saham Amanah , Hamad Kama Piah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan