suria

Sunway Reit Selesai Pengambilalihan Sunway Hotel Georgetown

KUALA LUMPUR: Sunway Reit Management Sdn Bhd, syarikat pengurusan Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway Reit), berjaya menyelesaikan pengambilalihan Sunway Hotel Georgetown, sekaligus, menandakan kemasukannya ke Pulau Pinang.

Sunway Reit dalam kenyataan, berkata baki daripada pertimbangan pembelian dibayar sepenuhnya kepada Sunway Biz Hotel Sdn Bhd (SBH) dengan menggunakan kemudahan pembiayaan hutang sedia ada Sunway Reit.

Sunway Hotel Georgetown akan dipajak semula kepada SBH, selaras dengan perjanjian sewaan induk (MLA) bagi tempoh 10 tahun dengan opsyen pembaharuan untuk 10 tahun lagi.

Tarikh permulaan MLA adalah pada 28 Januari, 2015.

"Kehadiran sulung kami ke dalam Tapak Warisan Kebudayaan Dunia Unescp sangat tepat pada masanya dengan Tahun Melawat Pulau Pinang 2015.

"Kami yakin hotel jenama "Sunway" akan mendapat sambutan memandangkan  aktiviti pelancongan yang semakin berkembang di negeri tersebut," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Reit Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng.

Hotel empat bintang yang telah diubahsuai pada 2013 itu, mempunyai kedudukan yang baik untuk menerima keuntungan daripada perkembangan aktiviti pelancongan yang giat dipromosikan oleh Lembaga Pelancongan Pulau Pinang.

Ng berkata, selepas kejayaan pengambilalihan tersebut, Sunway Reit kini mahu memberi fokus kepada cadangan pengambilalihan Wisma Sunway di Shah Alam menjelang suku pertama tahun kewangan 2016.

Kata Sunway Reit lagi, selepas proses itu selesai, saiz asetnya akan meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM5.79 bilion, seterusnya mengukuhkan kedudukan syarikat REIT itu menjadi yang kedua terbesar dari segi aset.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, kumpulan itu mengumumkan Sunway Reit merekodkan pertumbuhan pendapatan kasar sebanyak 8.2 peratus dari tahun ke tahun kepada RM227.8 juta untuk enam bulan pertama tahun kewangan berakhir Jun 2015, disokong oleh prestasi yang kukuh dalam segmen runcit.

Bagaimanapun, ia telah diimbangi sebahagiannya oleh prestasi segmen pejabat yang agak perlahan.

Pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat sebanyak 7.2 peratus dari tahun ke tahun kepada RM173.2 juta, sebahagian besarnya sejajar dengan pertumbuhan dalam pendapatan kasar.

Untuk suku kedua berakhir 31 Disember 2014, Sunway Reit mencatatkan kenaikan pendapatan sebanyak 3.3 peratus kepada RM114 juta dengan RM86.7 juta NPI.



Artikel Lain