suria

Tanjung Manis Bakal Jadi Nukleus Kembang Industri Halal Sarawak

KUCHING: Hab Halal Tanjung Manis (HHTM) di Bahagian Mukah, Sarawak, bakal menjadi nukleus kepada perkembangan industri halal di negeri ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, antara sektor yang akan menjadi tumpuan bagi perkembangan industri ini termasuklah akuakultur, pertanian, pelancongan, penghasilan produk makanan, kesihatan dan kosmetik.

"Pembangunan industri halal di Sarawak akan menjadi antara penyumbang kepada nilai eksport halal Malaysia yang kini telah mencecah RM32 bilion," katanya dalam ucapan beliau sempena merasmikan Halal Outreach Programme (Hope) 2014 peringkat negeri Sarawak di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Adenan berkata, HHTM yang mula diperkenalkan pada 2010 dengan keluasan 124,000 hektar serta menerima pengiktirafan sijil HALMAS daripada Halal Industry Development Corporation merupakan hab halal terbesar di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, ia juga merupakan satu-satunya hab halal yang menyediakan kemudahan untuk melaksanakan aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran berbanding hab halal lain di rantau ini.

"HHTM yang merupakan antara nod (pusat) pertumbuhan SCORE (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak) kini sedang giat dilengkapkan dengan segala prasarana yang terbaik bagi menghadapi kemasukan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara pada penghujung 2015," katanya.

Adenan berkata, proses mengenal pasti pemain-pemain industri halal di Sarawak juga sedang giat dilaksanakan melalui pengumpulan data berkaitan pengusaha, pengeluar, pembekal dan peniaga dalam industri berkenaan.

Katanya, bagi tahun ini, sebanyak 141 syarikat di Sarawak telah diberikan sijil halal di mana sembilan merupakan syarikat multinasional, 76 industri kecil dan 56 industri kecil sederhana.


Tanjung Manis, Sarawak, halal

Artikel Lain