Pengeluar Kotak Barang Kemas Hadapi Saingan Produk Import

Diterbitkan: Ahad, 3 Ogos 2014 12:41 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Memang lumrah. Setiap perniagaan yang menguntungkan akan menghadapi persaingan.

Perusahaan membuat kotak barang kemas oleh seorang pengusaha tempatan di sini yang memberi pulangan cukup lumayan kini terjejas, ekoran saingan produk import.

Abd Mubarak Mohamed Salih, 64, yang telah terlibat dalam pengeluaran kotak barang kemas ini sejak berdekad kini menghadapi pesaing dari China, Hong Kong dan Thailand. Produk mereka dijual dengan harga lebih rendah.

"Akibatnya, kalau dahulu saya boleh jual kotak barangan kemas ini dengan harga RM60, tetapi sekarang tidak boleh.

"Mereka jual jenis barang yang sama dengan harga murah tetapi kualiti kurang memuaskan.

"Produk saya lebih berkualiti dan boleh tahan 10 tahun," kata Abd Mubarak yang meneruskan legasi perusahaan bapanya yang telah menjangkau 40 tahun.

Beliau membekal produk tersebut kepada sebilangan besar kedai emas di seluruh negara.

"Kerja-kerja membuat kotak barang kemas ini memerlukan ketelitian oleh itu mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.

"Untuk siapkan 20 biji kotak memerlukan lima ke enam hari," katanya.

Abd Mubarak berkata produknya yang diperbuat daripada kain baldu dari Korea dan kayu, dijual dengan harga antara RM60 dan RM130 sebuah, bergantung pada saiz.

Abd Mubarak berkata penglibatannya dalam perusahan itu bermula dengan 'paksaan' kira-kira 40 tahun lalu.

"Dulu selepas sekolah ayah akan paksa saya untuk menolongnya di kedai.

"Pada mulanya, saya kurang berminat tetapi lama kelamaan selepas mempelajari cara untuk membuat produk ini saya jadi minat pula.

"Selepas habis persekolahan saya bekerja di kedai ayah dengan bayaran RM2 sehari.

"Selepas ayah meninggal, saya dan abang mengambil alih perniagaan ini. Abang saya bertanggungjawab menjaga akaun dan saya dengan pengeluaran produk," katanya.

Beliau berkata minat dan kesabaran adalah kunci penting jika seseorang itu mahu menceburi perniagaan berkenaan dan disebabkan itu beliau sukar mendapat pekerja baharu.

"Dulu kami ada lebih kurang 15 pekerja. Bila mereka sudah mahir dengan kerja-kerja seni ini, mereka meninggalkan perusahaan kami," katanya. 


Tags / Kata Kunci: Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan