suria

Bank Of Tokyo-Mitsubishi UFJ Malaysia Terbit Sukuk AS$500 JUTA

KUALA LUMPUR: Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (M) Bhd (BTMU Malaysia) akan mengadakan program penerbitan sukuk pelbagai mata wang bernilai AS$500 juta di bawah prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Pada Khamis, bank itu mengumumkan pelantikan CIMB Investment Bank Bhd (CIMB) dan Mitsubishi UFJ Securities International Plc (Musi) sebagai pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi program yang dicadangkan itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BTMU Malaysia, Naoki Nishida, berkata, bank itu sedang mempertimbangkan yen sebagai satu mata wang pilihan, dan jika demikian, ini akan menjadi terbitan sukuk dalam nilai yen pertama dalam pasaran global.

"Program sukuk sulung ini adalah yang pertama seumpamanya dalam rangkaian kumpulan ini yang lebih luas," katanya pada upacara menandatangani perjanjian program itu dengan CIMB dan Musi di sini, Khamis.

Katanya, penerbitan sukuk akan menyediakan sumber pembiayaan alternatif bagi BTMU Malaysia untuk menguruskan mudah tunainya agar berpadanan dengan pendedahan yang semakin bertambah dalam pembiayaan patuh syariah pelbagai mata wang.

"Sukuk Wakalah Bi Al-Istithmar terdiri daripada aset dasaran BTMU Malaysia termasuk komponen aset ketara dan komponen belum terima Murabahah daripada jualan komoditi patuh syariah," tegasnya. 


BTMU Malaysia, CIMB, sukuk

Artikel Lain