Xianda Labur RM8 Bilion Dalam Projek Penyahgaraman

Diterbitkan: Khamis, 29 Mei 2014 2:53 PM

Mustapa (kiri) bersama Setiausaha Parti Majlis Perbandaran Tianjin, Sun Chulan (tengah) dan Pengerusi Kumpulan Enersave, Mah Sau Cheong memegang replika simbol Enersave sebagai gimik pelancaran pecah tanah projek penyulingan air laut dan penghasilan garam. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

TIANJIN (China): Syarikat Malaysia XianDa Group merancang melabur RMB15 bilion (RM8 bilion) untuk membuka loji penyahgaraman pelepasan sifar cecair bersepadu pertama di dunia di sini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata loji itu akan menghasilkan satu juta tan air bersih dan 600,000 tan air sulingan sehari. 

Beliau berkata ini merupakan satu daripada pelaburan paling menarik Malaysia di China.

"Projek ini, yang dipacu oleh rakyat Malaysia, disokong oleh pelabur Malaysia dan menggunakan teknologi Malaysia, menunjukkan sumbangan kami kepada pertumbuhan menakjubkan China," kata beliau dalam ucapan semasa upacara pecah tanah projek pembuatan garam dan penyahgaraman air laut XianDa di sini, Khamis.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir ialah Setiausaha Tianjin Municipality Party Sun Chunlan, Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Enersave Group Mah Sau Cheong serta Victor Wee, Pengerusi Lembaga Enersave Cawangan Tianjin.

Najib, yang tiba di China pada Selasa bagi lawatan selama enam hari sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China, pulang ke tanah air pada malam Rabu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Beliau akan kembali semula ke Beijing hari ini untuk menyambung lawatannya. 

Perdana Menteri berkata dengan projek ini, XianDa bukan sahaja dapat mengekalkan ekosistem di Bohai Bay, tetapi juga menghasilkan garam yang mencukupi untuk mengubah kawasan dataran garam seluas 200 kilometer persegi menjadi tanah yang lebih produktif. 

Beliau juga memuji Kerajaan Tianjin City, dengan menyatakan pandangan jauh serta wawasan mereka telah menjadikan pelaburan ini satu kenyataan. 

"Usaha ke arah pembangunan perindustrian yang lestari dan mesra alam telah menyediakan peluang kepada Malaysia menunjukkan apa yang boleh ditawarkan kepada China menerusi loji penyahgaraman pelepasan sifar cecair bersepadu pertama dunia," kata Najib. 

Beliau juga memuji Kerajaan Pusat yang menganugerahkan kepada Tianjin "Status Perintis" dalam "Pembangunan Ekonomi Marin" dan memilih XianDa sebagai satu daripada tiga projek utama yang menunjukkan bagaimana sumber air laut boleh dirawat untuk memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. 

"Saya yakin perkongsian ini antara Kerajaan Tianjin dan XianDa akan menjadi model yang kita boleh contohi," kata Najib. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan