Texchem Unjur Kewangan 2014 Positif, Sushi King Sumbang 20 Peratus

Diterbitkan: Rabu, 30 April 2014 7:03 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Texchem Resources Bhd mengunjur tahun kewangan 2014 yang positif, dipacu oleh segmen perniagaannya, terutama bahagian restoran yang diterajui rangkaian Sushi King di seluruh negara ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Fumihiko Konishi berkata, Sushi King akan menjadi pemacu yang baik bagi Texchem, dengan menyumbang 20 peratus kepada keuntungan kumpulan.

Beliau berkata, Texchem merancang untuk memperluaskan restoran Sushi King kepada 90 cawangan menjelang akhir tahun daripada 80 sekarang ini dengan tumpuan di Terengganu, Kelantan serta Sabah dan Sarawak.

Konishi berkata, pengembangan berkenaan bagi memanfaatkan permintaan yang tinggi bagi makanan berkualiti dan sihat dengan peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk di luar bandar.

"Texchem merancang membuka 12 cawangan (Sushi King) menjelang akhir tahun ini dengan pelaburan RM10 juta. Bagaimanapun, dua cawangan akan ditutup. Pelaburan yang lebih tinggi bagi tahun ini disebabkan saiz yang lebih besar, persekitaran ruang makan yang selesa dan kondusif," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, Rabu.

Bahagian restoran mencatatkan kenaikan 18 peratus dalam hasil kepada RM178.7 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2013 berbanding RM151 juta pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai naik kepada RM16.4 juta daripada RM16.3 juta sebelumnya.

Konishi berkata, Texchem turut merancang untuk mengembangkan rangkaian Sushi King di Vietnam dan melebarkan kehadirannya ke Kemboja dan Indonesia, dengan memanfaatkan rancangan pengembangan Aeon.

"Texchem merancang untuk membuka cawangan kedua Sushi King di Ho Chi Minh City pada Oktober tahun ini dengan pelaburan sebanyak RM800,000. Bagi tahun depan, Aeon bercadang untuk membuka cawangan di Hanoi (Vietnam), Phnom Penh (Kemboja) dan Jakarta (Indonesia) dan kami berhasrat untuk mengikut Aeon dalam memperluaskan bahagian restoran Texchem," katanya.

Texchem menubuhkan bahagian restorannya di Ho Chi Minh City, iaitu Sushi King, Goku Raku Ramen dan Waku Waku pada awal tahun ini, melibatkan pelaburan RM2.4 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Texchems, Brian Tan Guan Hooi berkata bahagian makanan berkemungkinan menjadi pemacu dengan rancangan untuk memperluaskan tempat pemerolehan bahan mentah di Myanmar dan Malaysia.

"Kami meninjau untuk kontrak pembuatan dan mewujudkan tempat pemprosesan baharu," katanya.

Guan Hooi berkata, Texchem mempunyai kemudahan pengeluaran di Myeik, Myanmar dan syarikat meninjau untuk meningkatkan keupayaan membeli bahan mentah dari situ.

Beliau berkata, Texchem juga mempunyai tempat pemprosesan di Prai, Pulau Pinang, dan Pantai Remis di Perak dan kini meninjau untuk memperluaskan kemampuan pemerolehan di Kuantan dan Endau, bandar sempadan Johor-Pahang.

Bagi tahun kewangan yang berakhir 2013, bahagian makanan Texchem mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.5 juta daripada RM5.4 juta sebelumnya disebabkan oleh jualan lebih tinggi produk surimi, meningkatkan margin, kawalan kos berkesan dan pengurusan serta kadar tukaran yang baik bagi Kyat (Myanmar).

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan