suria

MPRC Sambut Baik Keputusan Petronas Ke Atas Kompleks Bersepadu Pengerang

Shahrol Halmi.

KUALA LUMPUR: Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) menyambut baik keputusan Petronas untuk meneruskan pembinaan Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) serta semua kemudahan berkaitan di kawasan itu bernilai AS$27 bilion.  

Pada Khamis, Petronas mengumumkan bahawa Lembaga Pengarahnya meluluskan pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Keputusan itu merupakan kejayaan penting dalam kemajuan cadangan PIC.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Datuk Shahrol Halmi berkata, PIC merupakan sebahagian daripada cadangan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) yang lebih besar dan dipromosikan oleh kerajaan pusat serta Johor.  

"MPRC, yang diberi mandat untuk mengubah Malaysia menjadi hab minyak dan perkhidmatan gas nombor satu di rantau Asia Pasifik melihat keputusan ini sebagai kejayaan penting dalam membuka jalan ke arah matlamat itu.

"Ini akan mengubah industri itu. Dua blok bangunan utama PIPC iaitu Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas Pengerang milik DIALOG dan PIC kini akan dilaksanakan.

"Kami teruja untuk melihat pertumbuhan dalam sektor hiliran minyak serta gas dan meningkatkan kepentingan dalam Pengerang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, pembangunan PIPC diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC).

Lembaga Pengarah JPDC yang terdiri daripada wakil dari MPRC, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Exco Negeri Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Unit Perancang Ekonomi Johor, Petronas dan DIALOG Group Bhd.

Artikel Berikut

Artikel Lain