suria

Graduan berbakat ini puas dapat pasang PC sendiri selepas 2 tahun mencuba! - “Gaji sikit tapi tak nak kerja KL sebab mak tinggal seorang”

Set komputer yang dipasang sendiri oleh Somad siap sepenuhnya pada tahun 2019.

MENJELANG kedatangan 2020, ramai pelayar media sosial mula berkongsi pencapaian mereka sepanjang tahun ini.

Ada yang berjaya membeli rumah sendiri, tidak kurang juga yang mampu membawa ibu bapa ke Tanah Suci.

Jelas dapat dilihat, setiap individu mencapai kepuasan dengan cara tersendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia tanya kenapa buat dia macam ni?” - Komplot berjaya, gadis buat pakwe 'ketagih' PUBG menangis

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda dikecam kerana label kursus taraf ‘kos cikai’, “Budak-budak komputer punya sentap”

Begitu juga dengan jejaka berusia 28 tahun ini apabila dia berjaya memasang komputer sendiri yang diusahakannya selama dua tahun.

Perkongsian Abdul Somad Banyamin turut mendapat perhatian ramai di Twitter memandangkan tidak semua orang mampu melakukan hal itu.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Somad mengakui gembira apabila berjaya merealisasikan impian itu tahun ini.

"Ambil masa dua tahun sebab saya kumpul duit sikit-sikit. Saya simpan duit dalam RM50 ke RM100 setiap bulan, sebab gaji pun sikit.

Perkongsian Somad di laman Twitter.

"Saya ada satu komputer (PC) lama, saya terfikir lebih baik pasang sendiri daripada saya beli full set yang baharu.

"Jadi, saya pun buat try and error sahaja. Belajar dari Youtube, website dan forum," ujar graduan bidang Seni Digital lulusan Politeknik Arau, Perlis ini.

Selain set komputer, meja milik Somad turut mencuri tumpuan ramai yang mana ia kelihatan cukup kreatif dan unik.

Jelasnya, ia dihasilkan menggunakan kotak yang tidak digunakan dan sama sekali tidak menyangka akan menerima pujian ramai.

Beralih kepada perjalanan hidupnya, biarpun dia tidak bekerja dalam bidang yang dipelajarinya, Somad bagaimanapun enggan melupakan impiannya itu.

Dia yang sudah tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang tetap bergelumang dengan ilmu berkaitan perisian rekaan khususnya pada waktu lapang.

Salah beli komponen, tak ada pengalaman lagi. Saya hanya rujuk internet. Masa PC tu dah nak siap, saya hampir putus asa sebab tak boleh nak hidupkan.

ABDUL SOMAD BANYAMIN

Tambahnya lagi, ibunya, Ramlah Ramli, 65, menjadi punca utama kenapa dia enggan mengejar cita-cita itu di ibu kota.

"Saya ada mohon kerja tapi tak dapat. Di Pulau Pinang tak banyak peluang kerja bidang yang saya belajar tu.

"Saya tak nak kerja di Kuala Lumpur sebab mak saya tinggal seorang diri di Kedah. Seminggu sekali saya ulang-alik dari Pulau Pinang ke rumah mak.

"Setiap hari saya balik kerja, saya buka PC. Saya buat graphic design, animation dan 3D," ujar Somad lagi.

Turut mencuri tumpuan tentunya meja komputer Somad yang diperbuat daripada kotak.

Bercerita mengenai set komputer yang dipasangnya sendiri, Somad tidak terlepas berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Malah, dia juga pernah terfikir untuk berputus asa sebelum ini kerana gagal untuk menghidupkan komputer berkenaan.

"Salah beli komponen, tak ada pengalaman lagi. Saya hanya rujuk Internet.

"Masa PC tu dah nak siap, saya hampir putus asa sebab tak boleh nak hidupkan.

Somad mahu aktif berkongsi ilmu di Youtube pada tahun hadapan.

"Tapi akhirnya saya berjaya. Rasa puas hati, rasa bangga juga sebab minat dan boleh buat sendiri.

"Target tahun 2020, nak aktif di Youtube, kongsi ilmu mengenai perisian 3D, graphic design dan animation," ujarnya.

Dalam pada itu, Somad turut menerima banyak pujian di Twitter.

Malah, ramai yang menyangka set komputer yang dipasangnya dikhususkan untuk permainan grafik.

"PC saya memang tak ada game. Ramai fikir saya main game dengan PC tu. Saya hanya guna untuk main software sahaja.

"Sebab minat, lepas balik kerja, belah malam saya guna la PC tu," ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain