suria

“Hati kental ni jadi sebak”- Ibu banyak berhabis untuk raya, anak 13 tahun beri hadiah 'birthday' lebih sebulan awal

Nota mengenai hadiah ulang tahun yang diterima Arida daripada anak tunggalnya meskipun hari istimewa itu jatuh pada 20 Julai depan. Foto ihsan Arida Ariffin

SEJAK kedatangan Syawal, kecoh segelintir anak muda tanpa segan silu mengejar duit raya, malah ada yang memperlekehkan pemberian tuan rumah ‘cuma RM5 je’.

Namun, lain pula kisahnya mengenai seorang anak ini yang sanggup berkorban duit raya yang diperolehinya semata-mata untuk menggembirakan ibu tercinta.

“Hadiah hari ulang tahun untuk mak. Amir bagi awal sebab nanti Amir terguna. Selamat hari ulang tahun mak,” menurut sekeping nota daripda seorang anak sambil memohon maaf kerana memberikan hadiah kepada ibunya terlalu awal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rezeki dia datang seorang, ingatkan nak buat kejutan sudahnya jadi sampah”... Kerana syiling dalam sampul, budak ‘melepas’ duit raya RM10

ARTIKEL BERKAITAN: Pedih! Tuan rumah dedah ada mak ayah 'sama naik' dengan anak gelakkan duit raya RM5, sampul buang depan mata

Ibu berkenaan, Arida Ariffin berkata, dia menerima nota tersebut berserta satu sampul yang mengandungi sejumlah wang kertas yang diletakkan di dalam beg tangannya.

Perkongsian Arida di laman sosial mengenai kejutan hadiah hari ulang tahunnya.

Menurutnya, ia diberikan oleh anak tunggalnya Mohammad Amir Rashdan Rafiq, 13, pada Sabtu lalu dan tindakan tersebut amat mengejutkannya.

“Sebelum ni, dia ada tanya bila hari ulang tahun saya. Saya beritahu dia 20 Julai, tapi bila dia senyap-senyap masukkan ‘hadiah’ dalam beg saya pada Sabtu lepas (15 Jun) awal lebih sebulan.

“Saya panggil dia, saya tanya Amir kenapa beri sampul duit raya kat mak. Dia jawab itu hadiah birthday mak. Amir takut terpakai duit tu,” katanya kepada mStar.

Mohammad Amir membuat kejutan kepada ibunya dengan memberikan hadiah menggunakan duit rayanya.

Arida bagaimanapun mengembalikan sampul duit raya kepada anaknya kerana ia merupakan duit yang diperolehi anaknya daripada tuan rumah dan saudara-mara ketika beraya baru-baru ini.

Dia cakap ‘Amir tengok mak banyak habis belanja untuk raya. Gunalah duit raya Amir ni’. Tak sangka dia sanggup korbankan duit raya dia untuk hadiah birthday kat saya

ARIDA

Anaknya kemudian memberi penjelasan bahawa hadiah tersebut memang diberikan kepadanya selepas melihat dia banyak berbelanja untuk persiapan Hari Raya.

“Dia cakap Amir tengok mak banyak habis belanja untuk raya. Gunalah duit raya Amir ni. Mula-mula fikir saya rasa kelakar sebab tak jangka dia akan buat macam tu.

“Tapi rasa sebak sampai menangis, sebab tak sangka dia sanggup korbankan duit raya dia untuk hadiah birthday  saya,” ujar Arida.

Arida kagum dengan inisiatif anaknya untuk menambat hatinya.

Walaupun pada mulanya agak keberatan untuk menerima hadiah itu, tetapi dia akur selepas anaknya mengeluarkan sebahagian isi dalam sampul duit raya berkenaan.

“Saya ambil juga sebab tak mahu kecilkan hati dia. Sebagai seorang ibu, saya tahu dia lebih memerlukan duit tu berbanding saya yang sudah bekerja.

“Sebagai seorang anak pula dia sanggup bersusah payah untuk saya walaupun masih bersekolah dan duit belanja dia pun saya dan suami yang beri,” tambahnya.

Arida (kanan) dan anaknya, Mohammad Amir (tengah) bersama suami, Md Rafiq Md Nordin.

Bagi Arida yang menetap di Kajang, penerimaan itu adalah tanda penghargaan di atas keikhlasan dan kasih sayang anaknya yang tidak berbelah bahagi.

“Ada beberapa wang kertas berlainan warna dalam sampul tu, dan sebahagiannya diberikan kepada saya sebanyak RM200. Saya bayangkan jumlah sebenar adalah lebih daripada itu.

“Berapa pun jumlahnya tak penting bagi saya. Tapi, inisiatifnya untuk menambat hati ibunya buat saya kagum. Jujurnya, hati saya yang kental ni jadi sebak,” ujar Arida.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
duit raya, sampul, hadiah, birthday, ibu, anak, raya

Artikel Lain