suria

Kluster persidangan gereja di Kuching, majlis kahwin di Bangi bentuk jangkitan hingga generasi ke-5 - KP Kesihatan

Dua perhimpunan besar itu merupakan persidangan keagamaan di gereja selama tiga hari di Kuching dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi. (Gambar Hiasan)

SEBAGAIMANA dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), perhimpunan besar-besaran mampu memberi impak secara mendadak dalam peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Menerusi sidang media pada Isnin petang, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mendedahkan dua kluster yang berkait rapat dengan penganjuran dua perhimpunan besar-besaran, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhimpunan tak digalakkan antara 6 bulan hingga setahun selepas PKP berakhir - Dr Noor Hisham

Dua acara itu merupakan persidangan keagamaan di gereja selama tiga hari yang telah berlangsung di Kuching, Sarawak dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

"Kedua-dua kluster ini melibatkan jangkitan Covid-19 sehingga generasi ke-5.

"Susulan itu tindakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 adalah bertepatan sekali, bagi memutuskan rangkaian penularan virus Covid-19 di kalangan masyarakat," ujarnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mendedahkan kes melibatkan jemaah tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling menjadi kluster terbesar jangkitan di negara ini, merangkumi 42.8 peratus dari keseluruhan kes.

Selain kluster jangkitan gereja di Kuching dan majlis kahwin di Bangi, wujud juga kluster-kluster kecil seperti kes jangkitan di Hospital Teluk Intan, Perak.

"Harap kita ada masa yang mencukupi untuk ambil tindakan dan kemudiannya kita pergi (teliti) kepada kluster-kluster.

"Jika tidak, anda boleh lihat... lima generasi jangkitan daripada kes itu, sehingga ke generasi kelima.

"Dan kes melebihi 88 atau lebih 100 kes boleh direkodkan daripada satu sumber," ujarnya lagi.

Berikut merupakan perincian kes dua kluster tersebut:

1. Persidangan keagamaan di gereja selama 3 hari yang telah berlangsung di Kuching, Sarawak. Setakat ini, seramai 83 orang telah disahkan positif Covid-19 daripada kluster ini, di mana terdapat:

• dua kes kematian (kes ke-358 dan kes ke-2471)
• lima kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU)
• 50 kes sedang dirawat di hospital
• 25 kes bawah pemerhatian di pusat kuarantin
• Satu kes discaj yang telah pulih sepenuhnya.

2. Majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor di mana ianya merupakan satu kluster jangkitan Covid-19 yang kemudiannya telah membentuk jangkitan sehingga generasi ke-5.

Sehingga 6 April 2020, 88 kes telah disahkan positif Covid-19 daripada kluster ini, termasuk satu kes dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Setakat ini, tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini.


Artikel Lain